Enakmen Keterangan Makhamah Syariah (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

II - Pembuktian

Bab

3 - Keterangan Dokumentar

Seksyen

52

Tajuk

Hal yang dalamnya keterangan sekunder berhubungan dengan dokumen boleh diberikan
52 [1]

Keterangan sekunder boleh diberikan mengenai kewujudan, keadaan atau kandungan sesuatu dokumen yang boleh diterima sebagai keterangan dalam hal yang berikut—

(a) apabila dokumen asal dibuktikan atau didapati berada dalam milik atau di bawah kuasa—

(i) orang yang terhadapnya dokumen itu hendak dibuktikan;

(ii) mana-mana orang yang di luar bidang kuasa atau yang tidak tertakluk kepada proses Mahkamah; atau

(iii) mana-mana orang yang terikat di sisi undang-undang untuk mengemukakannya, dan setelah diberikan notis yang disebut dalam seksyen 59 orang itu tidak mengemukakannya;

(b) apabila kewujudan, keadaan atau kandungan dokumen asal telah dibuktikan sebagai diakui secara bertulis oleh orang yang terhadapnya ia dibuktikan atau oleh wakilnya yang diakui secara bertulis di hadapan Hakim atau Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam;

(c) apabila dokumen asal itu telah musnah atau hilang, atau apabila pihak yang menawarkan keterangan mengenai kandungannya tidak dapat mengemukakannya dalam masa yang munasabah kerana apa-apa sebab lain yang tidak berbangkit daripada kemungkiran atau keabaiannya sendiri;

(d) apabila dokumen asal itu adalah sebegitu keadaannya hingga ia tidak boleh dialih dengan mudah;

(e) apabila dokumen asal itu ialah suatu dokumen awam dalam erti seksyen 57;

(f) apabila dokumen asal itu ialah suatu dokumen yang salinan diperakuinya dibenarkan oleh Enakmen ini atau oleh mana-mana undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa di Malaysia untuk diberikan sebagai keterangan;

(g) apabila dokumen asal terdiri daripada berbagai keterangan atau dokumen lain yang tidak boleh diperiksa dengan mudah di Mahkamah, dan fakta yang hendak dibuktikan itu ialah kesimpulan mengenai kesemuanya itu.

52 [2]

(a) dalam hal yang tersebut dalam perenggan (1)(a), (c) dan (d) apa-apa keterangan sekunder mengenai kandungan dokumen itu bolehlah diterima;

(b) dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)(b), pengakuan bertulis di hadapan Hakim atau Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam itu bolehlah diterima;

(c) dalam hal yang tersebut dalam perenggan (1)(e) atau (f), hanya salinan diperakui dokumen itu boleh diterima;

(d) dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)(g), keterangan boleh diberikan tentang kesimpulan am mengenai dokumen itu oleh mana-mana orang yang telah memeriksanya dan yang mahir dalam pemeriksaan dokumen sedemikian.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.