PROGRAM ADN MUDA SELANGOR (AMS) 2026
Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor (PDNS) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran semula Program ADN Muda Selangor (AMS) 2026. Program tahunan ini kembali untuk edisi terbaharu dengan membawa beberapa penambahbaikan format bagi memastikan kualiti perbahasan dan penggubalan polisi di peringkat simulasi berada pada tahap yang tertinggi.
Kolaborasi Strategik & Sokongan Padu
Penganjuran AMS 2026 merupakan usaha murni dengan kerjasama rakan strategik sedia ada iaitu Majlis Belia Negeri Selangor (MBS) dan Persatuan Pendemokrasian Sosial (SocDem Malaysia). Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor serta Y.B. EXCO Belia.
Kelainan Format AMS 2026: Fokus Polisi Strategik
Bagi tahun ini, terdapat pembaharuan signifikan dalam proses pemilihan kawasan:
- Cabutan Undi Kawasan: Berbeza dengan tahun sebelum ini, penentuan kawasan DUN bagi setiap peserta akan dipilih melalui kaedah cabutan undi. Inisiatif ini bertujuan supaya perbincangan peserta lebih terarah kepada polisi dan hala tuju strategik peringkat negeri, bukannya terhad kepada isu lokaliti kawasan semata-mata.
- Sistem Undian Tajuk Usul: Para peserta akan diberi peluang untuk mengundi tajuk-tajuk usul yang telah disenarai pendek oleh sekretariat. Empat (4) Usul dengan undian tertinggi akan dibahaskan semasa Sidang Kemuncak.
Inklusiviti Had Umur: Kekal 35 Tahun
Walaupun pindaan Akta 668 (had umur belia 30 tahun) telah dikuatkuasakan di peringkat nasional bermula 1 Januari 2026, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif dengan mengekalkan had umur 35 tahun bagi program ini. Keputusan ini diambil bagi:
- Memberi ruang kepada golongan profesional muda menyumbang perspektif yang lebih matang dan teknikal.
- Memastikan input penggubalan polisi yang lebih substantif.
- Mengekalkan strategi pemerkasaan kepimpinan yang inklusif bagi semua lapisan belia.
Siapa Yang Layak Memohon?
Permohonan dibuka kepada semua belia di Selangor; terutama:
- Pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).
- Belia yang aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS).
Syarat Utama: Berusia 18 hingga 35 tahun. Keutamaan diberikan kepada pengundi di kawasan DUN Selangor, namun pemilihan akhir adalah berdasarkan kualiti cadangan usul dan kefahaman sistem pentadbiran.