Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggunjawaban dan Ketelusan (SELCAT) – Pengumpulan maklumat berkaitan isu-isu infrastruktur yang berkaitan dengan pelaburan di Negeri Selangor

KENYATAAN MEDIA


Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggunjawaban dan Ketelusan (SELCAT) 

Tarikh: 26 Mac 2025

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) Dewan Negeri Selangor telah menerima beberapa aduan tentang isu-isu infrastruktur yang berkaitan dengan pelaburan di Negeri Selangor dan Jawatankuasa telah memutuskan untuk menyiasat isu-isu ini secara lebih lanjut. Oleh itu, SELCAT telah mengambil keputusan untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang lebih terperinci untuk memudahkan siasatan SELCAT terhadap isu-isu yang dibangkitkan,

SELCAT ingin memaklumkan bahawa Borang Kaji Selidik telah disiarkan di Portal Dewan Negeri Selangor  untuk mengumpul maklumat berkaitan isu-isu infrastruktur yang berkaitan dengan  pelaburan di Negeri Selangor.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis cabaran serta isu-isu yang dihadapi dalam sektor infrastruktur yang berkaitan dengan pelaburan di negeri ini. Maklumat yang diterima akan dijadikan asas dalam siasatan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih berkesan bagi menangani cabaran ini dan memperkukuhkan pembangunan infrastruktur di Negeri Selangor.

Kami mengalu-alukan semua pelabur, pengilang, serta pemegang taruh untuk memberikan maklumat yang terperinci dan relevan. Borang kaji selidik ini boleh diakses melalui Portal Dewan Negeri Selangor atau pautan berikut: https://forms.gle/591qfD5VJxVvAHjU7 

Kami ingin menekan bahawa borang kaji selidik ini bertujuan hanya untuk mengumpul maklumat tambahan dan bukan untuk menerima aduan. Setiap maklum balas yang diterima akan diteliti oleh Jawatankuasa dan pihak urusetia Dewan Negeri Selangor akan menghubungi responden untuk mendapatkan penjelasan atau maklumat lanjut jika diperlukan.

Saya menyeru semua pelabur, pengilang, serta pemegang taruh yang terkesan dan berkaitan untuk mengambil bahagian dengan mengisi borang kaji selidik ini supaya pembangunan infrastruktur, terutamanya yang melibatkan pelaburan baharu di Selangor dapat terus diperkukuhkan.

Sekian, terima kasih.

 

LAU WENG SAN

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan (SELCAT)

 

Awasi, tambah baik sekolah tahfiz, yang tak berdaftar hendaklah ditutup – DYMM Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri ini, dengan sekolah tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup.

Untuk itu, baginda Sultan Selangor bertitah keadaan fizikal, fasiliti bangunan dan asrama sekolah tahfiz perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan diiktiraf.

Memberi contoh, titah baginda alat pencegah kebakaran di sekolah berkenaan juga hendaklah dalam keadaan baik dan diluluskan pihak bomba.

“Sekolah-sekolah tahfiz tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, baginda sekali lagi mengingatkan JAIS supaya terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng, selain berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Beta selaku ketua agama Islam di Negeri Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini.

“Beta suka mengingatkan lagi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya terus membanteras ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng dan berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap tidak ada individu atau kumpulan tertentu mempergunakan golongan anak yatim dan asnaf di Selangor untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

“Beta ingin mengingatkan supaya anak-anak yatim dan golongan asnaf di Selangor tidak seharusnya diabaikan.

“Pihak JAIS dan juga Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hendaklah memainkan peranan membantu golongan ini dan memastikan mereka mendapat pendidikan dan keperluan asas yang baik dan sempurna,” titah Sultan Sharafuddin.

Sementara itu, Sultan Selangor berharap kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menangani isu bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Baginda menegaskan pentadbiran negeri melaksanakan perancangan rapi untuk menghadapi isu bencana terutamanya banjir supaya tragedi banjir yang dahsyat tidak berulang lagi.

Baginda juga mahu melihat Rancangan Tebatan Banjir oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang berjumlah RM1.774 bilion dipercepatkan.

 

Sumber: Berita Harian Online

https://www.bharian.com.my/

http://www.youtube.com/@selangortvmy
http://www.youtube.com/@selangortvmy

Dewan Negeri Selangor Terima Lawatan Kerja Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (Commonwealth Parliamentary Association – CPA), Tuan Stephen Twigg

Shah Alam, 21 Jun: Dewan Negeri Selangor telah menerima lawatan kerja Setiausaha Agung Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Tuan Stephen Twigg bersama dua (2) Ahli Dewan Negara, Y.B. Senator Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Md. Ramli dan Y.B. Senator Tuan Isaiah D. Jacob bersama pegawai-pegawai dari Parlimen Malaysia.

Tuan Speaker, YB Lau Weng San menyampaikan taklimat berkaitan demografi Negeri Selangor serta garis masa pembentukan Kerajaan Negeri Selangor serta Dewan Negeri Selangor

Turut hadir ahli-ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) dan juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Y.B. Tuan Papparaidu A/L Veraman, Y.B. EXCO Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan dan ketibaan rombongan pada jam 10.00 pagi di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor telah disambut mesra oleh Pihak Pejabat Dewan Negeri Selangor (PDNS) sebelum mereka di bawa ke Bilik Gerakan untuk sesi perkongsian bersama Y.B. Tuan Speaker dan Y.B. Tuan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Y.B. Tuan Lau Weng San dan Y.B. Tuan Mohd Kamri Bin Kamaruddin.

Lawatan tersebut telah dimulai dengan ucapan aluan daripada Y.B. Tuan Speaker dan ucapan daripada Setiausaha Agung CPA, Tuan Stephen Twigg yang telah menyatakan penghargaan kepada Dewan Negeri Selangor atas kesudian menerima kunjungan lawatan kerja beliau.

Tuan Stephen Twigg menandatangani Buku Pelawat Dewan Negeri Selangor sambil disaksikan oleh YB Speaker Dewan Negeri Selangor, EXCO CPA Malaysia, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor serta kakitangan Parlimen Malaysia dan Dewan Negeri Selangor

Lawatan ini merupakan lawatan pertama Tuan Stephen Twigg ke Malaysia dan juga ke Dewan Negeri Selangor dengan hasrat untuk membawa badan-badan legislatif yang merupakan ahli CPA untuk bersama-bersama bertukar pandangan untuk menambah baik fungsi dan peranan badan legislatif di setiap negara, terutama di negara-negara komanwel.

Majlis diteruskan dengan sesi perkongsian berkenaan latar belakang Negeri Selangor dan Komposisi serta sejarah reformasi Dewan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Y.B. Tuan Lau Weng San beserta sesi soal jawab. Sepanjang sesi soal jawab berlangsung, Tuan Stephen Twigg, Y.B. Senator dan ahli-ahli Dewan Negeri telah mengambil bahagian bertukar pandangan dalam pelbagai isu terutama berkaitan usaha reformasi badan legislatif.

Tuan Stephen Twigg dibawa melawat Galeri Diraja Dewan Negeri Selangor serta Dewan Persidangan (Chamber)

Turut berlangsung sesi pemberian cenderamata kepada Tuan Stephen Twigg sebelum ahli-ahli rombongan dan Y.B. ADN yang terlibat di bawa ke Bangunan Dewan Negeri Selangor yang terdiri daripada Galeri dan Chamber untuk sesi lawatan.

Lagi berita di https://www.cpahq.org/news/2024_06-malaysia-and-selangor-branch-visits/

[Harian Metro] Isteri Timbalan Speaker Dun Selangor meninggal dunia

Shah Alam, 25 Nov (Bernama) : Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suzana Shaharudin meninggal dunia di Hospital Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur pada 12.02 tengah hari ini.

Timbalan Ketua Wanita PKR Juwairiya Zulkifli berkata Suzana, 51, yang juga isteri kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor Mohd Kamri Kamaruddin, meninggal dunia akibat penyakit barah yang dialaminya sejak awal tahun ini.

“Beliau seorang yang amat komited dalam perjuangan PKR, saya sempat bertemu dengannya semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri lalu yang turut berkempen bagi membantu suaminya (Adun Bukit Antarabangsa).

“Jenazah Suzana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas Asar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi Facebooknya turut melahirkan rasa dukacita atas kematian Suzana yang juga Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan rakan seperjuangannya.

“Semoga Allah mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang yang solehah.

“Saya turut mendoakan agar YB (Yang Berhormat) Mohd Kamri Kamaruddin dan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian yang teramat berat ini,” katanya.

-Bernama

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1034017/isteri-timbalan-speaker-dun-selangor-meninggal-dunia

 

[Selangorkini] ADN cadang gabung sukarelawan belia negeri, perkasa pembangunan akar umbi

Shah Alam, 23 Nov: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga mencadangkan pertubuhan atau sukarelawan belia di negeri ini digabung untuk menyelaras serta memperkasakan aktiviti yang dijalankan.

Danial Al-Rashid Haron berkata ini kerana negeri ini mempunyai pelbagai platform belia seperti Team Selangor, Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE).

“Apakah boleh gabung dan perkasakan platform pemuda seperti Team Selangor,  PeBS dan SERVE. Ini kerana setiapnya ada peruntukan dan apa makna untuk bangunkan belia tetapi dalam keadaan bergerak secara silo.

“Saya berpandangan gabungan semua inisiatif ini dan melaksanakan satu program tuntas untuk bangunkan belia,” katanya ketika membahas usul peruntukan pembangunan 2024 di sidang Dewan Negeri Selangor, semalam.

Sementara itu, wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei memohon Kerajaan Negeri mempertimbang kaedah meningkatkan peruntukan bagi pembangunan sukan.

“Peruntukan RM8 juta tidak cukup sekiranya kita ingin mencapai sasaran untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan memperkasakan pembangunan sukan akar umbi.

“Saya ingin cadangkan agar pihak berkuasa dan anak syarikat negeri diwajibkan untuk menjadikan sukan yang ditetapkan sebagai sukan angkat kerana kerjasama kedua-dua mampu menaikkan pasukan,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/11/adn-cadang-gabung-sukarelawan-belia-negeri-perkasa-pembangunan-akar-umbi/

[Bernama] Selangor pertimbang perluas Jom Shopping untuk perayaan Krismas

Shah Alam, 23 Nov (Bernama): Kerajaan Selangor akan mempertimbang untuk memperluaskan Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan (Program Jom Shopping) bagi perayaan Krismas.
 
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu berkata setakat ini, pemberian baucar hanya dilaksanakan kepada tiga perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
 
“Kami telah digariskan hanya tiga perayaan utama untuk setakat ini. Sekiranya ada permintaan atau cadangan daripada Dewan yang mulia ini, mungkin kami akan pertimbang melalui mesyuarat jawatankuasa negeri (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau MMKN) dan bakal kemukakan (cadangan itu) untuk dapatkan kebenaran.
 
lingkungan ketiga-tiga perayaan ini, biasanya bagi masyarakat Cina yang beragama Kristian mereka akan menerima baucar pada Tahun Baharu Cina dan bagi golongan India yang beragama Kristian kami juga memberi mereka (baucar) pada sambutan Deepavali,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) berhubung cadangan untuk menambah perayaan Krismas ke dalam Program Jom Shopping pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
 
Dalam pada itu, Papparaidu berkata kerajaan negeri juga bersetuju meningkatkan nilai bantuan beli-belah daripada RM100 kepada RM200 iaitu menambah baik syarat pendapatan penerima dengan had isi rumah penerima ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000.
 
Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri secara tahunan sejak 2012 bersempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali dengan setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan di pasar raya terpilih.
 
 

[Bernama] Selangor arah audit kerajaan negeri buat kajian semula program INSAN

Shah Alam, 21 Nov (Bernama): Kerajaan Selangor telah mengarahkan Bahagian Audit kerajaan negeri untuk membuat kajian semula berhubung pelaksanaan Program Skim Insurans Am Selangor (INSAN), iaitu perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada rakyat negeri itu.
 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga mengambil kira kepada semua perkara berbangkit terhadap skim tersebut, agar tidak timbul perkara yang dibangkit misalnya melibatkan proses prapendaftaran serta pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), yang ditimbulkan dalam pelaksanaan skim itu.
 
“Kerajaan negeri mengarahkan audit kerajaan negeri dengan proses yang lebih menyeluruh. Niat (kerajaan negeri memberi) perlindungan kepada rakyat.
 
“Ia (perlindungan) itu telah dibuat cuma tidak mencapai jumlah sebenar, kerana (mungkin) tawaran tidak jelas, promosi kurang baik dan (meneliti) kaedah digital sama ada ia sampai kepada rakyat (seperti mana) yang kita diharapkan,” katanya.
 
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) dan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan), berhubung perkembangan pelaksanaan Program INSAN di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
 
Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai 5,879,600 orang rakyat Selangor terlibat dalam prapendaftaran setakat September dan sebanyak RM12 juta telah dibayar oleh kerajaan negeri menerusi Skim INSAN Konvensional (disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad), manakala RM9 juta untuk Skim INSAN Takaful (oleh Takaful Ikhlas General Berhad).
 
Program INSAN ialah inisiatif kerajaan Selangor yang bermula 1 Okt 2022, bertujuan memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada enam juta rakyat di Selangor yang layak berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun, menerusi Skim INSAN Konvensional dan Skim Insan Takaful.
 
 

[Bernama] Kerajaan negeri tiada kuasa luluskan kenaikan tarif air – Amirudin

Shah Alam, 21 Nov (Bernama): Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa meluluskan kenaikan tarif air dan perkara itu perlu dibawa ke peringkat kementerian (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) meskipun wujud keperluan untuk berbuat demikian.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata mana-mana negeri akan bersetuju dengan peningkatan tarif air yang menjadi penyelesaian kepada peningkatan kos operasi ditanggung oleh syarikat konsesi.
 
“Mana-mana menteri yang bertanggungjawab untuk menguruskan air, sumber asli akhirnya akan bersetuju peningkatan tarif adalah sebahagian daripada solusi. Berbanding elektrik sebenarnya air tertanggung sekian lama.
 
“Seperti negeri Pahang mereka menanggung beban hutang besar sebab mereka tidak dapat menaikan (tarif) 30 tahun, hanya Johor berjaya meningkatkan sebelum 2018 sebab itu mereka mampu menukar keseluruhan 20,000 paip-paip yang perlu digantikan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
 
Bagaimanapun, Amirudin berkata Selangor kekal meneruskan pemberian air percuma walaupun berdepan kos yang tinggi selepas melihat inisiatif itu memberi kebaikan kepada rakyat.
 
Dalam pada itu, Amirudin berkata kenaikan tarif air turut dipersetujui oleh negeri lain termasuk daripada negeri yang diterajui Perikatan Nasional.
 
Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) berhubung semakan tarif air yang didakwa akan dibuat dalam masa enam bulan pada tahun hadapan, Amirudin berkata perkara itu perlu diputuskan di peringkat pusat.
 
“Sebab bukan kita (kerajaan negeri) putuskan sepenuhnya, kena diputuskan di peringkat Pusat. Kita tiada tarikh lagi, jadualnya sekitar enam bulan pertama tahun depan selepas persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Itu persetujuan bersama, saya sudah sebutkan secara objektif semua negeri bersetuju, bukan hanya terbeban negeri kita tetapi negeri lain. Kita belum putus lagi bila hendak menaikkan tarifnya sebab jadual ditetapkan oleh menteri,” katanya.
 
Sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
 
Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2246607

[Bernama] Kerajaan Selangor Senarai Hitam Pemaju Tidak Patuh Syarat Sedia Kuota Bumiputera- EXCO

Shah Alam, 20 Nov (Bernama): Kerajaan Selangor akan menyenaraihitamkan pemaju yang tidak mematuhi syarat menyediakan kuota Bumiputera, kata Exco Perumahan dan Warisan negeri Borhan Aman Shah (gambar).

Beliau berkata pihaknya masih mengekalkan mekanisme sedia ada dalam menentukan peratusan kuota Bumiputera berdasarkan Pelan Tindakan Perumahan Negeri Selangor bagi sesuatu projek pembangunan.

“Sekiranya pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit bukan Bumiputera maka proses kebenaran pindah milik secara menyeluruh atau ‘blanket consent’ tidak dapat diteruskan.

“Pemaju akan disenarai hitam daripada membuat sebarang permohonan pelepasan kuota Bumiputera di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan dikenakan denda yang lebih berat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Michelle Ng (PH-Subang Jaya) berhubung penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Borhan berkata peraturan itu dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberi milikan tanah yang akan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) serta dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).

“Pihak pemaju perlu memastikan syarat kuota Bumiputera tersebut dipatuhi semasa proses penjualan hartanah. PTGS akan membuat pemantauan semasa peringkat permohonan kelulusan ‘blanket consent’ atau ‘blanket approval’ oleh pihak pemaju,“ katanya.

Sementara itu, Borhan berkata jika pembeli sudah membeli unit Bumiputera disebabkan ketidakpatuhan pemaju ketika proses penjualan terutama bagi pemaju yang telah digulungkan atau bankrap, pembeli dibenarkan membuat permohonan rayuan pengecualian atau pengurangan bayaran tujuh peratus atau 10 peratus pemulangan potongan harga Bumiputera.

“Selain itu, lima peratus caj pelanggaran mekanisme penyelenggaraan kuota Bumiputera dengan syarat pihak pemaju membuat permohonan pelepasan kuota Bumiputera di LPHS dan rayuan itu perlu dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan Keputusan Pelepasan Kuota Bumiputera Negeri Selangor untuk pertimbangan,“ katanya.

Kerajaan negeri dan LPHS katanya bersedia membantu sebarang permohonan rayuan ke mesyuarat jawatankuasa tersebut untuk dibincangkan berdasarkan tatacara ditetapkan, seterusnya diangkat ke MMKN jika memerlukan kelulusan pihak berkuasa negeri.

Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2246154