[Selangorkini] ADN cadang gabung sukarelawan belia negeri, perkasa pembangunan akar umbi

Shah Alam, 23 Nov: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga mencadangkan pertubuhan atau sukarelawan belia di negeri ini digabung untuk menyelaras serta memperkasakan aktiviti yang dijalankan.

Danial Al-Rashid Haron berkata ini kerana negeri ini mempunyai pelbagai platform belia seperti Team Selangor, Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Sukarelawan Selangor (SERVE).

“Apakah boleh gabung dan perkasakan platform pemuda seperti Team Selangor,  PeBS dan SERVE. Ini kerana setiapnya ada peruntukan dan apa makna untuk bangunkan belia tetapi dalam keadaan bergerak secara silo.

“Saya berpandangan gabungan semua inisiatif ini dan melaksanakan satu program tuntas untuk bangunkan belia,” katanya ketika membahas usul peruntukan pembangunan 2024 di sidang Dewan Negeri Selangor, semalam.

Sementara itu, wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei memohon Kerajaan Negeri mempertimbang kaedah meningkatkan peruntukan bagi pembangunan sukan.

“Peruntukan RM8 juta tidak cukup sekiranya kita ingin mencapai sasaran untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan memperkasakan pembangunan sukan akar umbi.

“Saya ingin cadangkan agar pihak berkuasa dan anak syarikat negeri diwajibkan untuk menjadikan sukan yang ditetapkan sebagai sukan angkat kerana kerjasama kedua-dua mampu menaikkan pasukan,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/11/adn-cadang-gabung-sukarelawan-belia-negeri-perkasa-pembangunan-akar-umbi/