[Bernama] Selangor arah audit kerajaan negeri buat kajian semula program INSAN

Shah Alam, 21 Nov (Bernama): Kerajaan Selangor telah mengarahkan Bahagian Audit kerajaan negeri untuk membuat kajian semula berhubung pelaksanaan Program Skim Insurans Am Selangor (INSAN), iaitu perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada rakyat negeri itu.
 
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga mengambil kira kepada semua perkara berbangkit terhadap skim tersebut, agar tidak timbul perkara yang dibangkit misalnya melibatkan proses prapendaftaran serta pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), yang ditimbulkan dalam pelaksanaan skim itu.
 
“Kerajaan negeri mengarahkan audit kerajaan negeri dengan proses yang lebih menyeluruh. Niat (kerajaan negeri memberi) perlindungan kepada rakyat.
 
“Ia (perlindungan) itu telah dibuat cuma tidak mencapai jumlah sebenar, kerana (mungkin) tawaran tidak jelas, promosi kurang baik dan (meneliti) kaedah digital sama ada ia sampai kepada rakyat (seperti mana) yang kita diharapkan,” katanya.
 
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) dan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan), berhubung perkembangan pelaksanaan Program INSAN di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
 
Dalam pada itu, Amirudin berkata seramai 5,879,600 orang rakyat Selangor terlibat dalam prapendaftaran setakat September dan sebanyak RM12 juta telah dibayar oleh kerajaan negeri menerusi Skim INSAN Konvensional (disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad), manakala RM9 juta untuk Skim INSAN Takaful (oleh Takaful Ikhlas General Berhad).
 
Program INSAN ialah inisiatif kerajaan Selangor yang bermula 1 Okt 2022, bertujuan memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada enam juta rakyat di Selangor yang layak berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun, menerusi Skim INSAN Konvensional dan Skim Insan Takaful.