[Bernama] Kerajaan negeri tiada kuasa luluskan kenaikan tarif air – Amirudin

Shah Alam, 21 Nov (Bernama): Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa meluluskan kenaikan tarif air dan perkara itu perlu dibawa ke peringkat kementerian (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) meskipun wujud keperluan untuk berbuat demikian.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata mana-mana negeri akan bersetuju dengan peningkatan tarif air yang menjadi penyelesaian kepada peningkatan kos operasi ditanggung oleh syarikat konsesi.
 
“Mana-mana menteri yang bertanggungjawab untuk menguruskan air, sumber asli akhirnya akan bersetuju peningkatan tarif adalah sebahagian daripada solusi. Berbanding elektrik sebenarnya air tertanggung sekian lama.
 
“Seperti negeri Pahang mereka menanggung beban hutang besar sebab mereka tidak dapat menaikan (tarif) 30 tahun, hanya Johor berjaya meningkatkan sebelum 2018 sebab itu mereka mampu menukar keseluruhan 20,000 paip-paip yang perlu digantikan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
 
Bagaimanapun, Amirudin berkata Selangor kekal meneruskan pemberian air percuma walaupun berdepan kos yang tinggi selepas melihat inisiatif itu memberi kebaikan kepada rakyat.
 
Dalam pada itu, Amirudin berkata kenaikan tarif air turut dipersetujui oleh negeri lain termasuk daripada negeri yang diterajui Perikatan Nasional.
 
Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) berhubung semakan tarif air yang didakwa akan dibuat dalam masa enam bulan pada tahun hadapan, Amirudin berkata perkara itu perlu diputuskan di peringkat pusat.
 
“Sebab bukan kita (kerajaan negeri) putuskan sepenuhnya, kena diputuskan di peringkat Pusat. Kita tiada tarikh lagi, jadualnya sekitar enam bulan pertama tahun depan selepas persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Itu persetujuan bersama, saya sudah sebutkan secara objektif semua negeri bersetuju, bukan hanya terbeban negeri kita tetapi negeri lain. Kita belum putus lagi bila hendak menaikkan tarifnya sebab jadual ditetapkan oleh menteri,” katanya.
 
Sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.
 
Sumber: https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2246607