Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

8) PENYELESAIAN ISU BANJIR

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan spot banjir yang kerap berlaku di Negeri Selangor.

    Untuk makluman, sebanyak 328 kawasan banjir yang direkodkan dalam tempoh 3 tahun. Daerah yang mempunyai rekod kawasan hotspot banjir yang paling tinggi adalah daerah Klang sebanyak 89 kawasan, diikuti Daerah Hulu Langat sebanyak 67 kawasan, Daerah Petaling 46 kawasan, Daerah Sepang 27 kawasan, Daerah Gombak sebanyak 33 kawasan Daerah Kuala Selangor dan Hulu Selangor masing-masing 26 kawasan,Daerah Sabak Bernam sebanyak 23 kawasan dan daerah Kuala Langat sebanyak 17 kawasan. Senarai kawasan banjir bagi setiap daerah adalah seperti di Lampiran.

  2. Nyatakan rancangan keseluruhan untuk penyelesaian isu banjir

    Rancangan bagi penyelesaian keseluruhan isu banjir adalah dengan memastikan setiap pembangunan baru yang dicadangkan perlu disediakan kolam takungan (detention pond) bagi mengawal pertambahan air larian permukaan (surface water runoff) dan kadar kuantiti air sebelum dan selepas (Qpre dan Qpost) pembangunan dapat dikawal kesan daripada pembukaan tanah. Pihak JPS mensyaratkan setiap pemaju agar menyediakan kolam takungan On Site Detention (OSD) yang berfungsi untuk mengawal, menakung sementara dan memperlahankan kadar aliran air yang memasuki sungai serta longkang berhampiran dengan kawasan pembangunan bagi mengelakkan limpahan air sungai yang menyebabkan berlakunya banjir. Manakala bagi kawasan yang telah dibangunkan, jabatan akan mencadangkan kerja-kerja menaiktaraf sungai yang dikenalpasti tidak dapat menampung air larian semasa. Selain itu, pihak jabatan juga akan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan berkala dan kerja pembuangan kelodak dilaksanakan.