Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

25) INDUSTRI TERNAKAN AYAM

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah dan senaraikan setiap satu syarikat yang berdaftar untuk menjalankan industri ternakan ayam di DUN Tanjung Sepat?

    Terdapat 34 buah ladang ternakan ayam di DUN Tanjung Sepat terdiri daripada 31 ladang ayam pedaging dan 3 ladang ayam kampung. Senarai syarikat yang menjalankan industri ternakan ayam di DUN Tanjung Sepat yang diambil daripada Daftar Lesen Penternakan Unggas di bawah Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008) adalah seperti dalam Lampiran A.

  2. Apakah mekanisme yang dilakukan oleh pihak berwajib untuk tidak memastikan tiada gangguan vektor lalat di sekitar reban-reban ternakan ayam?

    Mekanisme yang digunakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) sebagai pihak berwajib untuk memastikan reban-reban ternakan ayam tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat termasuk pencemaran dan tiada gangguan vektor lalat adalah semua peraturan, proses dan aktiviti yang telah digariskan dalam Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008). Secara ringkasnya, semua peraturan, proses dan aktiviti tersebut boleh dibahagikan kepada :

    1. Proses Pengeluaran Lesen Memelihara Unggas termasuk lesen baharu dan memperbaharui lesen tahunan
    2. Proses Kompaun Kesalahan Ladang Unggas
    3. Proses Notis Kelulusan Bersyarat dan Pembatalan Lesen Memelihara Unggas
    4. Pengurusan aduan awam di bawah enakmen dan peraturan perladangan unggas.
  3. Apa yang boleh dilakukan oleh orang awam untuk melaporkan masalah kebersihan dan gangguan vektor lalat dari industri ini?

    Orang awam boleh melaporkan masalah kebersihan dan gangguan vektor lalat dari industri ini dengan salah satu kaedah berikut :

    1. Menghantar surat atau mengisi Borang Aduan Pelanggan di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah di seluruh Negeri Selangor;
    2. Menghantar e-mel kepada aduan@dvssel.gov.my atau aduan2dvssel@gmail.com; atau
    3. Melengkapkan format aduan awam di portal https://selangor.spab.gov.my.