Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999

Bahagian

I - Permulaan

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain –

“air bumi” ertinya air bawah permukaan yang terdapat di bawah aras air di dalam tanah-tanih dan bentukan geologik dan termasuklah-

(a) sesuatu telaga, lubang gerek atau bentuk kerja sepertinya yang digali ke dalam strata bawah tanah, termasuklah mana-mana adit atau saluran yang dibina berhubungan dengan telaga, lubang gerek atau bentuk kerja itu bagi menyenangkan pengumpulan air di dalam telaga, lubang gerek atau bentuk kerja itu;

(b) mana-mana penggalian ke dalam strata bawah tanah di mana paras air dalam penggalian itu bergantung sepenuhnya atau sebahagian besarnya kepada air yang memasukinya daripada strata itu; dan

(c) mana-mana air bumi yang ditetapkan;

   “aktiviti pengubahan sumber” ertinya pelaksanaan apa-apa kerja-kerja atau aktiviti yang melibatkan atau berkemungkinan mempunyai kesan –

a) memisahkan, mengeluarkan atau menggali bahan daripada sesuatu sumber air yang mengubahkan keadaan dasar, tebing atau pesisiran sumber air itu;

(b) menggalangi, melencongkan atau menjejaskan aliran dan pergerakan air di dalam sesuatu sumber air;

(c) mengubahkan keadaan asal sumber air itu;

(d) mengurangkan daya sesuatu sumber air untuk mengandung air; atau

(e) menebusgunakan tanah yang menjadi sebahagian daripada sesuatu sumber air

dan bagi maksud perenggan (b) tafsiran ini, sesuatu aktiviti atau kerja-kerja boleh, tanpa menjejaskan keluasan perenggan itu, terdiri dari pembinaan jambatan, lebuhraya, tambatan, benteng hakisan, pemecah ombak, pembetungan, laluan pejalan kaki, tanjakan bot, tambatan bot, rak ikan, kolam pemeliharaan ikan dan tanda navigasi pada, dalam atau di atas sesuatu sumber air;

“alam sekitar” ertinya faktor-faktor fizikal bagi kawasan di sekeliling manusia termasuk tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor-faktor biologi bagi binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan dan faktor-faktor sosial astetika;

“badan air” ertinya mana-mana alur, tasik, kolam, tanah perairan, perairan pantai dan badan air lain, sama ada semulajadi atau buatan dan termasuklah mana-mana badan air yang ditetapkan;

“badan air yang ditetapkan” ertinya mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai badan air yang ditetapkan di bawah Bahagian VI;

“bahan buangan” termasuklah apa-apa benda yang ditetapkan sebagai buangan terjadual, atau apa-apa benda sama ada dalam bentuk pepejal, separuh pepejal, atau cecair, atau dalam bentuk gas atau wap yang dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan dalam alam sekitar dalam apa-apa isipadu, komposisi atau cara yang menyebabkan pencemaran;

“bahan pencemar” ertinya apa-apa benda semulaiadi atau buatan, sama ada dalam bentuk pepejal, separuh pepejal atau cecair, atau dalam bentuk gas atau wap, atau campuran sekurang-kurangnya dua daripada benda ini, atau bau-bau busuk atau bunyi atau haba yang dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan atau yang berkemungkinan dilepaskan, dikeluarkan atau diletakkan daripada mana-mana sumber yang boleh secara langsung atau tidak langsung menyebabkan pencemaran dan termasuk apa-apa benda berbahaya kepada alam sekitar;

“dasar” berhubungan dengan sesuatu sumber air, ertinya tanah yang dibatasi oleh tebing yang paling terdekat dengan sumber air itu;

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“dokumen” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Akta Keterangan, 1950;

“kawasan tadahan air” ertinya mana-mana kawasan daripada mana sesuatu sumber air menerima aliran permukaan yang berasal dari hujan dan termasuklah mana-mana kawasan tadahan air yang ditentukan;

“kawasan yang ditetapkan” ertinya mana-mana-

(a) kawasan tadahan air;

(b) lembangan sungai;

(c) badan air;

(d) air bumi; atau

(e) tanah perairan,

yang ditetapkan atau mana-mana kawasan lain yang diisytiharkan sebagai kawasan yang ditetapkan di bawah Enakmen ini;

“kawasan tadahan air yang ditetapkan” ertinya mana-mana kawasan yang disytiharkan sebagai kawasan tadahan air yang ditetapkan di bawah Bahagian VI;

“Kerajaan Negeri” ertinya Kerajaan Negeri Selangor;

“kerja-kerja” termasuklah apa-apa aktiviti yang berhubungan dengan-

(a) pembinaan, pembuatan atau pemasangan apa-apa struktur, bangunan, alat, vesel, pembetungan, kerja tanah atau tambak pada, di dalam atau atas, mana-mana sumber air;

(b) pengorekan, penambakan, mendalamkan atau pembuangan apa-apa bahan atau benda ke dalam mana-mana sumber air;

(c) menanam, memotong dan menebang apa-apa tumbuh-tumbuhan di kawasan tanah bersebelahan dengan mana-mana badan air atau yang berada dalam lembangan sungai; dan

(d) pengepongan, pelencongan, pembuangan, penggalangan atau penggangguan terhadap aliran dan penggunaan air di dalam mana-mana sumber air;

   “Lembaga” ertinya Lembaga Urus Air Selangor yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

“lembangan sungai” ertinya mana-mana sungai dan kawasan tadahan air yang mengelilingi sungai itu dan termasuklah lembangan sungai yang ditetapkan;

“lembangan sungai yang ditetapkan” ertinva mana-mana kawasan yang disytiharkan sebagai lembangan sungai yang ditetapkan di bawah Bahagian VI;

“lesen” ertinya suatu lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen ini;

“maksud awam” ertinya penggunaan mana-mana sumber air yang Negeri mempunyai
kepentingan termasuklah navigasi, rekreasi, pengekalan kehidupan akuatik dan ikan, habitat ikan dan kehidupan liar, kehidupan liar, kualiti air, kesihatan awam, pemberhentian pencemaran, kecantikan astetika dan pengeluaran tenaga;

“mampan” ertinya menguruskan kegunaan dan pembangunan sumber dengan sebegitu cara dan pada kadar yang membolehkan manusia dan masyarakat membuat
persediaan secara berterusan bagi kebaikan sosial, kesihatan, ekonomi dan kebudayaan mereka di samping menjaga daya sokongan kehidupan air untuk memelihara kehidupan dan melindungi sumber-sumber alam sekitar yang disokong oleh sumber air;

“negeri-negeri” ertinya negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia;

“Negeri” ertinya Negeri Selangor;

“orang” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967;

“pemegang kepentingan” ertinya mana-mana orang, organisasi, pertubuhan atau pihak berkuasa awam yang mempunyai kepentingan di dalam atau terjejas oleh pembangunan, penggunaan dan pemuliharaan mana-mana sumber air;

“pencemaran” ertinya apa-apa perubahan langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, atau biologi mana-mana bahagian alam sekitar dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan benda berbahaya kepada alam sekitar, bahan pencemar atau bahan buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan berfaedah, menyebabkan suatu keadaan yang berbahaya atau mungkin merbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam, atau kepada binatang, burung, hidup-hidupan liar, ikan atau hidup-hidupan dalam air, atau kepada tumbuh-tumbuhan atau menyebabkan suatu pelanggaran terhadap apa-apa syarat, had atau sekatan yang dikenakan ke atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen ini;

“Pengarah” ertinya ketua pegawai eksekutif Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 9 dan termasuklah mana- mana pegawai yang menjalankan tugas-tugas Pengarah;

“pengendali” ertinya mana-mana orang yang dilesenkan di bawah Bahagian X;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga yang dilantik di bawah seksven 4 dan termasuklah Timbalan Pengerusi sementara semasa melaksanakan fungsi-fungsi Pengerusi;

“Pentadbir Tanah” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya di dalam Kanun Tanah Negara, 1965;

“perairan pantai” ertinya bahagian tertentu laut Negeri yang tidak melebihi tiga batu nautika diukur daripada tanda air surut pasang surut perbani biasa dan termasuklah
semua tanah yang terletak di antara tanda air pasang dan tanda air surut pasang surut perbani biasa;

“perbadanan” ertinya perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 7;

“pihak berkuasa awam” ertinya mana-mana pihak yang menjalankan kuasa-kuasa yang terletak hak padanya oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang negeri, atau mana-mana orang yang dilantik oleh atau bertindak bagi mana-mana pihak berkuasa itu;

“Pihak Berkuasa Negeri” mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967;

“pihak berkuasa tempatan” ertinya mana-mana dewan bandaraya, majlis perbandaran atau majlis daerah, mengikut mana yang berkenaan;

“premis” termasuklah mana-mana bangunan atau struktur atau mana-mana bahagiannya (sama ada siap atau sebaliknya), tanah tanpa apa-apa bangunan atau struktur, dan mana-mana dermaga, jermang, kemudahan penurunan penumpang, vesel atau struktur timbul atas air atau yang dibina di atas mana-mana sumber air;

“rizab sungai” ertinya sungai itu dan had dataran banjir menghala ke darat yang terletak dalam jarak 50 meter dari tanda air pasang biasa sungai itu atau jarak lain yang diperuntukkan oleh Lembaga dan termasuklah mana-mana rizab sungai yang ditetapkan;

“sumber” ertinya apa-apa perkara, benda, bahan atau cecair yang berlaku dalam, berhubungan dengan atau bergantung kepada air sama ada ia memerlukan penggunaan tenaga kerja terhadap pengeluarannya dan sama ada di atas atau di bawah permukaan dan termasuklah tetapi tidak terhad kepada-

(a) flora dan fauna;

(b) air, galian, pasir atau tanah;

(c) produk semulajadi yang lain; atau

(d) mana-mana kawasan yang mempunyai ciri-ciri untuk maksud awam;

   “sumber air” ertinya mana-mana sungai, lembangan sungai, air bumi atau badan air;

“sungai” ertinya mana-mana alur buatan, saluran air semulajadi atau mana-mana anak sungai atau lencongan buatan terhadapnya dan mana-mana kepongan di dalam alur;

“Tabung” ertinya Tabung yang ditubuhkan di bawah bahagian IV;

“tanah perairan” ertinya mana-mana kawasan paya, fen, tanah gambut, rawa atau tanah rendah yang ditenggelami atau dipenuhi air yang statik atau mengalir, sama ada semulajadi atau sebaliknya, tawar, keroh atau masin, mengikut musim, tidak berterusan atau berterusan dan termasuklah mana-mana tanah perairan yang ditetapkan;

“tebing” berhubungan dengan sesuatu sumber air ertinva tebing sumber air itu yang terbentuk secara semulajadi atau buatan;

“vesel” termasuklah mana-mana kapal atau bot atau apa-apa jenis vesel yang digunakan bagi navigasi;

“zon banjir” ertinya mana-mana kawasan di tepi sungai yang senang dilanda banjir.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.