[Berita Harian] Selangor Lulus Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri dan Pelan Tindakan 2022-2025

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan pada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam (NSTP/Faiz Anuar)

 

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini sebulat suara meluluskan usul Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025.

Usul berkenaan dibawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan dibahas tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ia diluluskan.

Speaker DUN, Ng Suee Lim, berkata selepas ini usul berkenaan akan diteliti oleh kerajaan sama ada di peringkat negeri pada penggal yang akan datang atau ke peringkat Pusat untuk dijadikan panduan atau cadangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Saya berharap pada masa akan datang, kanak-kanak di negeri ini tidak mengira lapisan masyarakat atau yang mempunyai masalah berkaitan kewarganegaraan dapat dijamin hak mereka dan beroleh pendidikan asas.

“Selangor satu-satunya negeri yang membentangkan dasar kanak-kanak sepanjang penggal ini.

“Kita di Selangor teliti dalam semua aspek termasuk sosial, ekonomi, kebudayaan dan tidak terlepas isu warga emas serta kanak-kanak. Ini satu kerajaan yang mesra, berjiwa rakyat, berketrampilan dan faham denyut nadi rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Terdahulu, ketika membawa usul berkenaan, Dr Siti Mariah memberitahu, kanak-kanak adalah aset negara dan modal insan terpenting yang bakal mengemudi tampuk kepemimpinan negara.

Justeru, katanya, pelaburan yang berterusan wajar diutamakan dalam aspek kesejahteraan dan kebajikan mereka.

“Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 adalah inisiatif perancangan strategik yang memfokuskan kepada 10 domain utama iaitu persediaan keibubapaan dan pra-kelahiran, kesihatan, perkembangan sosial dan komunikasi, pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, kesejahteraan kekeluargaan, pendidikan (peringkat rendah dan menengah), peranan teknologi dalam perkembangan kanak-kanak, infrastruktur dan keselamatan, sosioekonomi dan pembabitan pemegang taruh.

“Melalui dasar ini juga, disertakan pelan tindakan strategik yang sedang dan akan dilakukan dalam usaha mencapai matlamat utama yang sudah digariskan dalam setiap domain utama dalam dasar ini.

“Melalui pelan tindakan ini, pembangunan program dan inisiatif berkaitan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara strategik dan bersesuaian dengan latar belakang demografi dan psikografi kanak-kanak di Selangor,” katanya ketika membawa usul berkenaan.

Dr Siti Mariah berkata, Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor & Pelan Tindakan 2022-2025 ini diharapkan dapat memberikan satu panduan yang jelas dan sistematik untuk pembangunan kanak-kanak yang sejahtera di negeri ini.

Katanya, penekanan terhadap dasar ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri berlandaskan konsep ‘Selangor Penyayang’.

Terdahulu, persidangan DUN Selangor yang bermula pada Isnin lalu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1078362/selangor-lulus-dasar-pembangunan-kanak-kanak-negeri-dan-pelan

[TheSundaily] Amirudin: BN kini sebahagian kerajaan Negeri Selangor

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor

Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno dan Barisan Nasional (BN) kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri yang akan berakhir Jun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata ia hasil perbincangan yang dimuktamadkan bersama Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Ahli-ahli dewan dari BN akan menjadi sebahagian daripada kerajaan Selangor sampailah kita tutup pentadbiran penggal ini yang berakhir pada bulan Jun dengan peruntukan dan dasar yang seadilnya,“ katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya dua ADUN dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan seorang ADUN Warisan setakat ini tidak memberikan kata putus sama ada ingin menyertai kerajaan negeri atau tidak.

BN mempunyai lima kerusi DUN di Selangor.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan Selangor mencatatkan hasil RM893.11 juta setakat Rabu lepas, hampir separuh daripada sasaran RM2.05 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini.

Beliau berkata perolehan antara Januari hingga Mac itu meningkat lebih RM265.11 juta berbanding hasil tahun lalu. – Bernama

Sumber: https://www.thesundaily.my/cerita/berita/amirudin-bn-kini-sebahagian-kerajaan-negeri-selangor-DA10764777

[Berita Harian] Selangor selaras syarat, garis panduan pendaftaran TASKA di rumah

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, menjawab soalan oada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor Shah Alam- Foto NSTP/Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang menyelaras syarat dan garis panduan pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang beroperasi di rumah bagi memudahkan pengusaha meneruskan operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata ketika ini, syarat pendaftaran itu antara pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak sekata.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan untuk menyelesaikan isu pendaftaran berkenaan, kerajaan negeri perlu mengubah syarat di PBT dan perkara itu sedang kita laksanakan.

“Prosedur pendaftaran TASKA di rumah diselaraskan dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Semua TASKA yang berdaftar di bawah Akta 308 itu perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan operasi TASKA itu tertakluk kepada undang-undang PBT di kawasan masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai syarat bagi pengasuh beroperasi di rumah didapati terlalu ketat dan pada standard yang sama dengan TASKA.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri membuat semakan semula syarat berkaitan penyeragaman dan memudahkan urusan permohonan bagi menggalakkan pendaftaran pengusaha TASKA di rumah.

Selain itu, katanya, satu Sesi Libat Urus Isu Pendaftaran TASKA Di Rumah Bersama PBT dilaksanakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak pada 6 Mac lalu.

Beliau berkata, susulan sesi berkenaan, pihaknya turut menulis surat kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk melanjutkan tempoh setahun untuk pendaftaran TASKA di rumah, yang masih dalam tempoh sah perakuan selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Saya turut mencadangkan kepada KPWKM supaya mengeluarkan TASKA yang beroperasi di rumah daripada Akta 308 kerana peraturan itu diperuntukkan kepada TASKA institusi, tempat kerja dan TASKA komuniti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaan galakan kerajaan negeri untuk pembinaan TASKA di ruang pejabat bagi memudahkan ibu bapa untuk menguruskan anak mereka, Dr Siti Mariah berkata, pejabat yang tidak dibina untuk kemudahan TASKA sukar memenuhi syarat yang dikenakan PBT, JBPM Selangor dan JKNS.

“Saya memaklumkan kepada PBT untuk memastikan mana-mana tempat kerja yang mempunyai jumlah wanita bekerja melebihi jumlah tertentu perlu mempunyai TASKA dari awal, seperti mana kita menetapkan untuk adanya surau, tandas dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian negeri, Izham Hashim memberitahu, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) akan menyediakan bekalan ayam dan telur lebih banyak menjelang sambutan Aidilfitri.

“Jualan JER sepanjang Ramadan berjalan seperti biasa namun jumlah produk ditingkatkan terutama menjelang raya, malah program jualan juga dibuat lebih besar dan meluas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) berhubung pelaksanaan program jualan murah berkenaan ketika Ramadan.

Jualan barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dianjurkan di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat, dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari sejak 15 Januari dan dijangka berakhir pada Mei.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1078180/selangor-selaras-syarat-garis-panduan-pendaftaran-taska-di-rumah?utm_source=bh&utm_medium=beritaberkaitan

 

 

 

[Selangorkini] Sultan sukacita hasil negeri tertinggi dalam enam tahun, atasi sasaran awal

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Shah Alam, 13 Mac: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sukacita berikutan hasil negeri pada tahun lalu tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Baginda bertitah kutipan yang merekod angka RM2.533 bilion juga melebihi sasaran awal RM2.05 bilion, lebih tinggi berbanding angka pada tahun sebelumnya iaitu RM2.284 bilion.

“Beta menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta. Beta dimaklumkan 2022 tahun cemerlang bagi Selangor dan turut menjadi penyumbang terbesar Keluaran Negara Kasar (KDNK) iaitu 24.8 peratus.

“Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat lima peratus mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional iaitu 3.1 peratus,” titah Baginda sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang berjaya mengemudi negeri dengan semangat ‘Kita Selangor’.

Baginda turut mengingatkan pentadbiran Kerajaan Negeri supaya sentiasa memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan dari Januari hingga September 2022 yang merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.7 bilion melibatkan 199 projek perkilangan.

“Daripada jumlah ini, RM3.58 bilion daripada pelaburan tempatan manakala RM6.12 bilion pelabur asing. Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek perkilangan yang diluluskan,” titah Baginda.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/03/sultan-sukacita-hasil-negeri-tertinggi-dalam-enam-tahun-atasi-sasaran-awal/

[Selangorkini] Sultan puji tekad Kerajaan Negeri perkasa syiar Islam, pelihara agama lain

Shah Alam, 13 Mac: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyambut baik tekad Kerajaan Negeri yang terus memperkasa syiar Islam dengan menyalurkan peruntukan RM65 juta bagi tahun ini.

“Beta menyambut baik langkah Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa syiar Islam di Selangor.

“Untuk tahun ini, sebanyak RM65 juta telah disediakan khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid, surau dan pejabat agama Islam,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam titah sempena pembukaan sempena Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini, Baginda turut memuji tindakan Kerajaan Negeri yang menyediakan peruntukan khusus untuk agama-agama lain.

“Kedudukan agama-agama lain turut terpelihara di Selangor. Beta menyambut baik usaha Kerajaan Beta yang telah menyediakan peruntukan yang lebih tinggi pada tahun ini kepada Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) dengan peruntukan RM8 juta berbanding RM6.3 juta pada tahun lepas.” titah Baginda.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/03/sultan-puji-tekad-kerajaan-negeri-perkasa-syiar-islam-pelihara-agama-lain/

[Sinar Harian] Sultan Selangor ingatkan lagi masjid bukan medan politik

Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri, Selangor pada isnin.- Foto Bernama

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Titah baginda, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah memastikan masjid dan surau bebas dari unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Menurut baginda, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca perbalahan dan sengketa yang akan membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tidak berkesudahan.

“Ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik,” titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal keenam Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

‘Baginda menzahirkan kebimbangan keadaan itu akan memecah belah umat Islam khususnya orang Melayu jika budaya itu tidak dibendung’

“Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, beta telah menitahkan bahawa hanya mereka yang mempunyai tauliah dari Jawatankuasa tauliah MAIS dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor ini.

“Sekali lagi beta tegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenal agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah memfitnah dari berlaku,” titahnya.

Pada masa sama, baginda mengingatkan MAIS untuk terus mengeluarkan arahan dan semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

“Beta menyeru semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.”Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan,” titahnya.

Sempena pembukaan Sidang DUN Selangor, baginda turut menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membahaskan isu secara berhemah, penuh kebijaksanaan dan dapat menghasilkan penyelesaian yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negeri.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/249421/edisi/selangor-kl/sultan-selangor-ingatkan-lagi-masjid-bukan-medan-politik

 

 

 

[Berita Harian] Kerusi DUN Batang Kali Diisytihar Kosong

Harumaini Omar-Foto arkib NSTP

Shah Alam: Dewan Negeri (DUN) Selangor hari ini mengisytiharkan kekosongan kerusi Batang Kali, berikutan wakil rakyat berkenaan, Harumaini Omar (PEJUANG) gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun lalu.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata pengisytiharan itu mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Beliau akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

“Tahun lalu, DUN Selangor bersidang dari 14 hingga 18 Mac, 21 Mac, 25 hingga 29 Julai, 1 hingga 2 Ogos, 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember dalam Penggal Kelima DUN Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022.

“Penyata Rasmi dan Buku Kedatangan Ahli DUN Selangor menunjukkan ADUN Batang Kali, Harumaini Omar, didapati tidak hadir tanpa kebenaran Speaker DUN Selangor pada keseluruhan persidangan dewan dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

“Tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan Pejabat Speaker yang menunjukkan Yang Berhormat memohon kebenaran daripada Speaker untuk tidak hadir pada persidangan berkenaan,” katanya dalam sidang media khas di Lobi Dewan Annex SUK, di sini hari ini.

Suee Lim berkata, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran, tarikh akhir kehadiran Harumaini ke persidangan dewan adalah pada 27 Julai tahun lalu.

“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai, maka seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara LXIX Undang -Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali melebihi enam bulan.

“Maka, pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Yang Berhormat Harumaini Omar adalah kosong berkuat kuasa dari 28 Januari,” katanya.

Harumaini adalah calon BERSATU, sekali gus Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dilangsungkan pada 2018.

Kerusi itu dimenangi apabila mengetepikan dua calon lain termasuk penyandang Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan daripada Barisan Nasional (BN) dan seorang lagi calon dari PAS, Mohd Hasnizan Harun.

Harumaini memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,315 undi apabila memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 undi yang diperoleh Mat Nadzari.

Apabila BERSATU meninggalkan PH pada Februari 2020, Harumaini enggan menyertai langkah itu, sebaliknya menyertai PEJUANG.

Ditanya sama ada Harumaini ada menghubungi beliau untuk memaklumkan alasan ketidakhadiran pada persidangan dewan, Suee Lim berkata sehingga kini tiada sebarang berita.

“Tiada… dalam tarikh yang saya sebutkan tadi, tiada surat, tiada hubungi. Sepatutnya beliau (Harumaini) kena tulis surat kalau tidak hadir, ada masalah dan sebagainya kepada Setiausaha DUN Selangor.

“Ahli Dewan sendiri kena bertanggungjawab memaklumkan kepada Setiausaha DUN Selangor, bukan Speaker untuk bertanya kepada setiap ADUN hendak datang sidang atau tidak,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau turut menjelaskan kewajaran pengisytiharan kekosongan kerusi dibuat hari ini walaupun kerusi itu kosong berkuat kuasa 28 Januari lalu.

“Saya ambil sendiri masa (pengisytiharan) kerana saya mengamalkan dengan tertib dan teratur, kita minta pandangan Penasihat Undang-Undang negeri, baru isytihar.

“Beliau (Harumaini) ketahui (kekosongan kerusi) melalui sidang media ini kerana kita isytihar dahulu, notis kekosongan dihantar kepada SPR dalam masa terdekat.

“Dengan pengisytiharan ini, hilang kelayakan sebagai ADUN, beliau juga dilarang hadir ke sidang DUN Selangor yang bermula pada Mac, tidak boleh membuat rayuan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, segala elaun dan gaji Harumaini sebagai ADUN Batang Kali hanya akan diberi setakat bulan lalu.

“Bermula Februari seterusnya, segala pembayaran gaji dan kebajikan beliau sebagai ADUN akan dihentikan. Namun, pencen ADUN beliau tidak terjejas, masih ada,” katanya.

Beliau berkata, pengisytiharan hari ini adalah kali kedua dilakukan oleh DUN Selangor selepas perkara sama dibuat ke atas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 2011.

Sumber :     https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1065164/kerusi-dun-batang-kali-diisytihar-kosong

[Sinar Harian] PRN Selangor: Kerjasama PH-BN diputuskan hujung bulan ini

Shah Alam – Bentuk kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor diharap dapat diputuskan selewat-lewatnya hujung bulan ini, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, beliau telah berjumpa secara tidak formal dengan beberapa pihak dalam BN bagi membincangkan perkara tersebut.

“Dalam minggu ini atau awal minggu depan, saya akan buat pengumuman. Hari ini saya akan membawa ke mesyuarat Exco dan membuat keputusan tertentu. Ia adalah perbincangan yang sangat positif dan saya berharap ia akan mewakili sentimen dalam kerajaan Persekutuan.

“Harap selewat-lewatnya bulan ini, kita sudah tentukan jenis kerjasama dan selepas itu, pada Februari dan seterusnya kita membuat persiapan untuk pilihan raya negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 kepada penjawat awam di negeri itu pada Rabu.

Amirudin juga berkata, mandat telah diperoleh daripada PKR untuk memulakan perbincangan berkenaan kerjasama tersebut dan ia akan diputuskan dalam kalangan parti gabungan PH.

“Secara asasnya saya tahu tidak ada tentangan, cuma kita kena melihat formulanya. Saya tak jumpa (ahli BN) secara formal, kita jumpa secara tidak rasmi di acara dan majlis dan dinyatakan tarikh dan waktu yang perlu ditetapkan.

“Maksudnya kita kena buat permulaan kepada perbincangan. Itu kena ada kerangka kerja… Jadi kita kena mulakan dengan beberapa kerangka kerja, apa yang perlu dimulakan dan sebagainya,” kata beliau. – Bernama

[Selangorkini] Orang ramai dijemput minum teh bersama wakil rakyat Bukit Gasing hari ini

Shah Alam, 11 Jan: Wakil rakyat Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran menjemput penduduk sekitar Bukit Gasing ke program santai minum teh bersamanya hari ini.

Program tersebut dianjurkan pejabat Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing bermula dari jam 5 petang sehingga 7 malam.

“Tahun ini, kita adakan (program) setiap Rabu kecuali cuti umum untuk penduduk berjumpa wakil rakyat tanpa temujanji,” katanya melalui Facebook.

Menurut Rajiv, beliau menjemput semua penduduk yang ingin bertemunya bagi menyampaikan isu yang memerlukan perhatian di kawasan mereka.

“Saya jemput semua penduduk yang mempunyai isu berkaitan kawasan mereka ataupun ingin hadir untuk beramah mesra. Teh dan pelbagai makanan ringan disediakan,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/orang-ramai-dijemput-minum-teh-bersama-wakil-rakyat-bukit-gasing-hari-ini/

[Selangorkini] 1,161 lampu solar LED dipasang sepanjang Lebuhraya Pulau Indah

Shah Alam, 11 Jan: Sebanyak 1,161 lampu diod pemancar cahaya (LED) berkuasa solar dipasang di sepanjang Lebuhraya Pulau Indah.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata setakat ini sebanyak 531 tiang lampu siap dipasang di kawasan Pelabuhan Klang.

“571 unit sudah siap dipasang pada bulan Mei tahun lepas manakala baki 630 unit dalam perancangan untuk dipasang oleh cawangan kejuruteraan elektrik JKR Selangor.,” katanya ketika dihubungi.

Jelas beliau, susur Lebuhraya Pulau Indah menuju ke West Port tidak berlampu sebelum ini dan keadaan itu membahayakan pengguna terutamanya kenderaan kecil.

Menurut Azmizam, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE) Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor kini dalam proses penilaian dan kajian bagi pemasangan dan piawaian lampu.

Oleh: Shamz Johan

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/1161-lampu-solar-led-dipasang-sepanjang-lebuhraya-pulau-indah/