[Berita Harian] Selangor selaras syarat, garis panduan pendaftaran TASKA di rumah

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, menjawab soalan oada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor Shah Alam- Foto NSTP/Faiz Anuar

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang menyelaras syarat dan garis panduan pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang beroperasi di rumah bagi memudahkan pengusaha meneruskan operasi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata ketika ini, syarat pendaftaran itu antara pihak berkuasa tempatan (PBT), tidak sekata.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan untuk menyelesaikan isu pendaftaran berkenaan, kerajaan negeri perlu mengubah syarat di PBT dan perkara itu sedang kita laksanakan.

“Prosedur pendaftaran TASKA di rumah diselaraskan dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Semua TASKA yang berdaftar di bawah Akta 308 itu perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan operasi TASKA itu tertakluk kepada undang-undang PBT di kawasan masing-masing,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan daripada Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) mengenai syarat bagi pengasuh beroperasi di rumah didapati terlalu ketat dan pada standard yang sama dengan TASKA.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri membuat semakan semula syarat berkaitan penyeragaman dan memudahkan urusan permohonan bagi menggalakkan pendaftaran pengusaha TASKA di rumah.

Selain itu, katanya, satu Sesi Libat Urus Isu Pendaftaran TASKA Di Rumah Bersama PBT dilaksanakan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak pada 6 Mac lalu.

Beliau berkata, susulan sesi berkenaan, pihaknya turut menulis surat kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk melanjutkan tempoh setahun untuk pendaftaran TASKA di rumah, yang masih dalam tempoh sah perakuan selaras dengan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

“Saya turut mencadangkan kepada KPWKM supaya mengeluarkan TASKA yang beroperasi di rumah daripada Akta 308 kerana peraturan itu diperuntukkan kepada TASKA institusi, tempat kerja dan TASKA komuniti,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) berkenaan galakan kerajaan negeri untuk pembinaan TASKA di ruang pejabat bagi memudahkan ibu bapa untuk menguruskan anak mereka, Dr Siti Mariah berkata, pejabat yang tidak dibina untuk kemudahan TASKA sukar memenuhi syarat yang dikenakan PBT, JBPM Selangor dan JKNS.

“Saya memaklumkan kepada PBT untuk memastikan mana-mana tempat kerja yang mempunyai jumlah wanita bekerja melebihi jumlah tertentu perlu mempunyai TASKA dari awal, seperti mana kita menetapkan untuk adanya surau, tandas dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian negeri, Izham Hashim memberitahu, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) akan menyediakan bekalan ayam dan telur lebih banyak menjelang sambutan Aidilfitri.

“Jualan JER sepanjang Ramadan berjalan seperti biasa namun jumlah produk ditingkatkan terutama menjelang raya, malah program jualan juga dibuat lebih besar dan meluas,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (PH-Meru) berhubung pelaksanaan program jualan murah berkenaan ketika Ramadan.

Jualan barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dianjurkan di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat, dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari sejak 15 Januari dan dijangka berakhir pada Mei.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1078180/selangor-selaras-syarat-garis-panduan-pendaftaran-taska-di-rumah?utm_source=bh&utm_medium=beritaberkaitan