Shah Alam: Terdapat 35,995 rumah terbengkalai di negeri ini melibatkan 176 projek dikesan yang mana Gombak merupakan daerah paling banyak kes sedemikian iaitu 7,792 dalam 20 rancangan di dua pihak berkuasa tempatannya (PBT).
Daerah yang melibatkan bandar-bandar besar seperti Petaling pula terdapat 5,571 rumah dikesan terbengkalai di tiga kawasan PBT iaitu Shah Alam (sembilan), Petaling Jaya (1,003) dan Subang Jaya (3,123).
Di Hulu Langat pula, sebanyak 4,988 rumah dilaporkan terbengkalai juga melibatkan 20 projek perumahan di Ampang Jaya (207) dan Kajang (4,781).
Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, langkah awal seperti tindakan senarai hitam nama-nama ahli lembaga pengarah syarikat pemaju diambil untuk memastikan mereka bertanggungjawab melaksanakan projek mengikut masa ditetapkan.
“Kerajaan negeri mengambil tindakan ke tas pemaju bermasalah dan mengedarkan nama-nama yang disenaraihitamkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui sistem pendaftaran pemaju (SPEM) di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
“Sekiranya dikenalpasti nama-nama pemaju terlibat disenaraihitamkan, maka pemaju tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan sebarang pembangunan di negeri ini termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun cuma berperanan sebagai salah seorang pemilik saham di bawah nama syarikat pemaju lain,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh (PN) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2023.
Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/11/sidang-dun-35995-rumah-terbengkalai-libatkan-176-projek/