[Selangorkini] Kenal pasti bayi tinggal di Selangor layak terima bantuan pendidikan RM500

Shah Alam, 15 Nov: Kerajaan Negeri meneliti kaedah sesuai memastikan bayi yang tinggal di Selangor layak menerima inisiatif Iltizam Anak Selangor (ANAS) bernilai RM500 meskipun lahir di negeri lain.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu tertumpu kepada keluarga di Sabak Bernam dan Sepang berikutan ada antara mereka terpaksa ke hospital negeri jiran berhampiran untuk proses kelahiran.

“Di dua lokaliti ini, ada ibu yang alami komplikasi bersalin dan terpaksa menyeberang ke Teluk Intan (Perak) dan Port Dickon (Negeri Sembilan).

“Jadi selain bina hospital baharu yang dikenal pasti di Tanjung Sepat (Sepang), Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) turut teliti bagaimana nak kenal pasti mereka layak walaupun secara teknikal mereka tidak layak kerana lahir di negeri lain,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Kuang Mohd Rafiq Mohd Abdullah, Amirudin berkata bantuan yang dirancang pentadbiran sememangnya tertumpu kepada anak-anak yang lahir di negeri ini namun tetap membantu keluarga yang bermaustautin lama.

“Contohnya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) atau Iltizam Sihat Selangor (ISS) kerana kita sedari beberapa faktor yang bantuan juga perlu diberikan kepada orang dewasa,” katanya.

Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM3 juta bagi menjayakan ANAS iaitu manfaat tabungan RM100 setahun sehingga penerima berumur lima tahun.

Inisiatif menyasarkan 30,000 bayi memasukkan terus nilai sumbangan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi membantu persediaan pendidikan.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/11/kenal-pasti-bayi-tinggal-di-selangor-terima-tabungan-pendidikan-rm500/