Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

138) ZAKAT

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan terkini untuk meningkatkan hasil kutipan zakat?

    LZS melaksanakan pelbagai pendekatan terkini bagi memastikan umat Islam yang memenuhi syarat wajib zakat, segera menunaikan kewajipan berzakat. Ini secara tidak langsung meningkatkan kutipan zakat di Selangor dan seterusnya memastikan kelangsungan agihan zakat kepada golongan asnaf. Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah:

    i. Meningkatkan penggunaan saluran komunikasi digital terutama media sosial bagi menyebarluaskan dakwah zakat lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik COVID-19. Ini sekali gus meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat di Selangor.

    ii. Mempelbagaikan medium pembayaran cashless dan dalam talian bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat melalui:

     Inisiatif pembayaran zakat secara automatik daripada akaun simpanan dan pelaburan bank pendeposit/pengeluar zakat secara tahunan.

     Kerjasama dengan penyedia perkhidmatan e-dompet (Boost, Touch n’ Go, GoPayz dan Lazada) dan TELCO bagi penyediaan fungsi bayaran zakat melalui perkhidmatan dan fasiliti yang ditawarkan.

     Menyediakan pelbagai pilihan kaedah pembayaran zakat termasuklah yang terkini dengan memperkenalkan pembayaran
    kad kredit Islamik dan direct debit dalam talian bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan zakat.

     Memperkasakan E-Taksiran bagi taksiran Skim Potongan Gaji (SPG) melalui pendigitalan dan memperluaskan capaian ke semua sektor majikan secara tahunan.

    iii. Menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi terpilih seperti:

     PERKESO – Melaksanakan perkongsian data majikan di Selangor bagi mengoptimumkan kutipan zakat pendapatan atau potongan gaji.

     Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) – Membangunkan Modul Komprehensif Pendidikan Zakat yang diperkenalkan di peringkat pendidikan sekolah bawah pengurusan JAIS di Selangor.

     Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) – Kolaborasi dakwah dan kesedaran tanggungjawab berzakat kepada pemilik harta sama ada sebelum atau selepas kematian dan juga kepada waris.

     Perbadanan Waqaf Selangor – Kolaborasi dakwah dan kesedaran tanggungjawab berzakat kepada pewaqaf.

     Jaringan Korporat – Melaksanakan program kolaborasi bersama syarikat korporat atau perniagaan dengan mengetengahkan tokoh-tokoh korporat atau pimpinan syarikat perniagaan bagi membincangkan hal-hal berkaitan zakat.

  2. Apakah pendekatan dan cara untuk memastikan agihan zakat sampai kepada mereka yang berhak tanpa prejudis politik?

    LZS merupakan institusi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dinaungi oleh DYMM Sultan Selangor dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan aktiviti kutipan serta agihan zakat di Negeri Selangor.

    Sebagai sebuah institusi zakat, LZS bebas dan tidak terpengaruh dengan mana-mana fahaman politik baik dari segi tadbir urus mahupun pengurusan agihan zakat. Ia sejajar dengan titah DYMM Tuanku pada 10 Mac 2011, agar agihan zakat di negeri Selangor dijalankan secara adil dan telus tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik seseorang.

    Justeru itu bagi memastikan golongan yang berhak (asnaf) mendapat manfaat zakat, beberapa perkara dipraktis oleh LZS agar pengagihan zakat dilaksanakan dengan adil dan saksama:

    i. Melaksanakan penggunaan had kifayah yang merujuk kepada garis kecukupan minimum bagi keperluan asasi seseorang individu dan tanggungannya yang diperkenalkan sejak tahun 2001 lagi. Ia diguna pakai bagi menentukan kelayakan sebagai asnaf fakir dan miskin.

    ii. Pengagihan bantuan zakat kepada golongan asnaf dilakukan tertakluk kepada Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat yang menjadi rujukan kepada LZS.

    iii. Melantik 2,000 Penolong Amil Kariah (PAK) bagi mencari dan mengenal pasti ahli kariah yang memerlukan bantuan zakat berdasarkan kepada had kifayah serta Garis Panduan dan Syarat Kelayakan Agihan Zakat. Setiap PAK yang dilantik perlu mematuhi etika dan gerak kerja yang ditetapkan oleh LZS bagi memastikan kredibiliti sebagai seorang PAK.

  3. Apakah impak positif hasil program-program pengagihan zakat yang telah dilaksanakan?

    Selain bantuan zakat berbentuk kebajikan yang bertujuan memenuhi kelangsungan hidup asnaf, LZS menumpukan aspek pembangunan diri dan keluarga agar golongan ini dapat keluar dari kepompong kemiskinan seterusnya meningkatkan taraf hidup.

    Untuk itu, LZS telah membangunan Blueprint Pembangunan Asnaf (BPA) yang merupakan satu usaha strategik LZS bagi merealisasikan hasrat memperkasakan kemandirian dan keupayaan asnaf dalam meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

    Ia bertujuan untuk mentransformasikan asnaf fakir dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan seterusnya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan hingga akhirnya boleh menyumbang semula menjadi pengeluar zakat pada masa hadapan.

    Antara impak positif yang dapat dilihat melalui program pembangunan asnaf yang dilaksanakan:

    i. Pelajar asnaf dapat melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi awam dan swasta melalui bantuan dermasiswa zakat LZS sekali gus merealisasikan hasrat membentuk anak-anak asnaf sebagai generasi kedua, generasi cemerlang yang mampu membawa keluarga keluar daripada kemiskinan.

    ii. Usahawan asnaf dapat dilahirkan melalui bantuan perniagaan yang disalurkan dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka bagi usahawan asnaf berpotensi yang dikenal pasti. Kursus dan latihan diadakan secara mingguan, di mana topik-topik yang diajar merangkumi ilmu-ilmu perniagaan seperti pengurusan kewangan, pemasaran digital,
    pembangunan produk dan pelbagai lagi yang bersesuaian seiring dengan keperluan dan cabaran semasa. Ada di antara usahawan asnaf ini telah menjadi pengeluar zakat di LZS.

    iii. Kerjasama bersama agensi-agensi yang melaksanakan program pembangunan keusahawan dalam bentuk latihan dan modal perniagaan. Antara agensi yang berkolaborasi dengan LZS termasuklah Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank, Centre For Entrepreneur Development and Research (CEDAR) dan sebagainya. Melalui Program ISHRAF misalnya, yang diperkenalkan oleh SME Bank telah membantu golongan asnaf memperkembangkan perniagaan mikro mereka dengan lebih berkesan telah mula menunjukkan kejayaan.

    iv. Program intervensi pembangunan kerjaya melalui Insiatif Kerjaya Asnaf (I-Kerjaya) bagi penempatan dan padanan pekerjaan kepada golongan asnaf yang diberhentikan kerja atau sedang dalam proses mencari pekerjaan. Ia sebagai pemudahcara bagi meningkatkan peluang kebolehkerjaan golongan asnaf.

    v. Asnaf mualaf berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tentang ajaran Islam melalui sesi Kelas Fardhu Ain Muallaf yang diadakan. Ada antara mereka kini merupakan guru pembimbing mualaf yang kini mengajar golongan asnaf mualaf.

Lampiran

Tiada Lampiran.