Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

147) YAYASAN ISLAM DARUL EHSAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah objektif penubuhan dan peranan Yayasan Islam Darul Ehsan?

    YIDE sebagai satu badan berorentasikan kebajikan bagi menyalurkan sumbangan kepada masyarakat Negeri Selangor dengan menfokuskan 3 aspek utama yang menjadi tunjang peranan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) iaitu:

    1. Menyatuni dan menyelia hal ehwal anak-anak yatim dan rumah kebajikan anak-anak yatim di Negeri Selangor Darul Ehsan
    2. Memberi rawatan kesihatan iaitu menyediakan Pusat Dialisis bagi pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang
    3. Memberi bantuan segera/ AD-HOC kepada mangsa-mangsa musibah khususnya dalam Negeri Selangor Darul Ehsan.
  2. Pihak manakah yang terbabit dengan penubuhan, pentadbiran dan perjalanan operasi yayasan?

    Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) ditubuhkan di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) seawal tahun 2011, di mana DYMM Sultan Selangor ketika itu melawat mangsa kejadian tanah runtuh yang melibatkan Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat Selangor. Justeru itu, pihak MAIS telah mengambil inisiatif dan setelah dibuat pencambahan fikiran, penubuhan Yayasan Islam bagi tujuan tersebut dicadangkan.

    Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Bil 3/2011 pada 12 Jun 2011 telah meluluskan penubuhan Yayasan ini yang dinamakan Yayasan Islam Darul Ehsan setelah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor dan telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan serta mula beroperasi pada 25 September 2012.

    Pengurusan perjalanan pentadbiran Yayasan Islam Darul Ehsan yang diketuai oleh Nur Mohd Razali bin Abdullah sebagai Pengurus Besar dan dipantau serta kawal selia oleh 6 orang Ahli Lembaga Pemegang Amanah yang dilantik iaitu:

    1. Bhg. Tan Sri Mazlan bin Mansor
        Pengerusi
    Yayasan Islam Darul Ehsan
    2. Bhg. Tuan Haji Mohamed Mohar bin Ibrahim
         Pengasas MMI Associates (Ahli Perniagaan)

     3. Bhg. Tuan Haji Mohd Salim bin Mohamed Sain
          Pengarah Urusan
    Circle Golf Sdn. Bhd. (Ahli Perniagaan)

     4. Bhg. Dato’ Sri Muhammad Khanafi bin Hussin
          Pengerusi Eksekutif,
    Al Ansar IBS (Ahli Perniagaan)

    5. Bhg. Prof. Dr. Azreen Syazril Adnan Consultant Nephrologist and Pysician Ara Damansara Medical Centre (ADMC)
    6. Bhg. Ustaz Suhaimi bin Ismail
         Pengarah Sektor Sosial Majlis Agama Islam Selangor

    Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tertakluk kepada garis panduan tadbir urus MAIS termasuk pelantikan Pengurus Besar dan Ahli Lembaga Pemengang Amanah (ALPA) serta pelaporan penyata kewangan serta dapatan audit dalaman.

  3. Dari manakah sumber dana bagi membiayai aktiviti yayasan ini dan ke manakah ianya disalurkan serta berapa ramaikah menerima manfaat daripadanya?

    Kos operasi Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) termasuk pengajian kakitangan dibiayai sepenuhnya oleh Social Business YIDE iaitu Pusat Dialisis MAIS melalui 6 cawangan yang telah beroperasi antaranya di Cawangan Shah Alam, Sungai Besar, Kuala Selangor, Taman Melawati, Kapar dan Bukit Jelutong.

    Manakala untuk membiayai aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) melalui beberapa sumber iaitu:

    1. Sumbangan daripada orang ramai,
    2. Tajaan Syarikat korporat,
    3. Tajaan Syarikat berkaitan kerajaan,
    4. Perkhidmatan skim potongan gaji,
    5. Sumbangan orang ramai melalui platform digital YIDE (ToyyibPay, TULUS, Touch n Go E Wallet, FPX, Direct Transfer, Kupon Infaq Yatim YIDE dan lain-lain)

    Untuk memperolehi sumbangan orang ramai, YIDE memperkenalkan platform digital bagi mempermudahkan orang ramai berindaq melalui InfaqYIDE iaitu gerbang sedekah untuk orang ramai.

    Penerima manfaat untuk sumbangan yang telah disalurkan akan diserahkan kepada 3 golongan sasar menjadi fokus utama YIDE seperti berikut:

    1. Musibah dan Malapetaka

    Bagi mangsa musibah dan malapetaka, setiap ketua keluarga akan menerima sumbangan secara adhoc dalam bentuk tunai dan juga barang keperluan asas. Musibah yang dinyatakan adalah seperti rumah terbakar, banjir dan sebagainya.

    YIDE juga menjadi penyelaras untuk bantuan skala besar bagi Agensi Agama Islam dan anak anak syarikat MAIS jika melibatkan musibah di luar negeri Selangor seperti banjir baru baru ini di Pantai Timur pihak YIDE dan MAIS turut menyalurkan sumbangan.

    2. Hal Ehwal Anak Yatim dan Rumah Kebajikan Anak Yatim

    Bagi anak-anak yatim pula sumbangan disalurkan kepada 8,100 orang anak anak yatim bagi tujuan pemberian wang saku setiap tahun pada bulan Ramadan bagi membantu anak-anak yatim ini melaksanakan persiapan untuk hari raya aidilfitri. dan 23 buah rumah kebajikan dibawah seliaan YIDE pula menerima geran tahunan bagi membantu kos-kos operasi rumah kebajikan tersebut.

    Selain daripada itu, anak-anak yatim yang menetap di 23 buah rumah kebajikan anak yatim turut menerima setiap tahun sepersalinan kelengkapan persekolahan melalui program Jom Kembali Ke Sekolah yang diadakan sebelum sesi baharu bermula.

    Antara lain juga YIDE turut menganjurkan Kursus Modal Insan kepada anak-anak yatim di Seluruh Negeri Selangor secara berperingkat mengikut daerah-daerah dalam negeri ini.

    3. Rawatan Dialisis di Pusat Dialisis MAIS

    Bagi rawatan dialsis pula, sumbangan yang disalurkan akan membantu bagi pembelian peralatan dialisis seperi Mesin Hemodialisis (RM 40,000) setiap 1 unit, RO Water (RM 98,000.00) setiap 1 unit dan lain lain lagi bagi memastikan kelancaran ketika menerima rawatan tidak terganggu.

    YIDE juga turut memberikan subsidi kepada pesakit-pesakit dialisis yang mana lebihan rawatan yang tidak ditanggung oleh penaja akan ditanggung sepenuhnya oleh YIDE melalui sumbangan orang ramai yang diterima.

    Setiap sumbangan yang diberikan akan dikecualikan cukai pendapatan dan potongan di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN 01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui resit rasmi YIDE.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.