Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

167) WIFI SMART SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini Program Wifi Smart Selangor?

    Wi-Fi Smart Selangor kini mempunyai 740 hotspot di seluruh Negeri Selangor yang telah memberi manfaat kepada sejumlah 25,000 pengguna setiap bulan secara puratanya. Pengguna boleh menikmati Wi-Fi percuma ini dengan kelajuan sehingga 8Mbps bagi setiap individu. Wi-Fi Smart Selangor melalui pengurusan Smartsel Sdn Bhd telah menyasarkan sejumlah 1,600 hotspot sehingga penghujung tahun 2022 dengan memfokuskan pemasangan tersebut di kawasan pedalaman Negeri Selangor bagi mengurangkan jurang digital dan memberi manfaat kepada golongan B40 dan juga para pelajar. Dalam waktu yang sama, kerajaan Negeri Selangor melalui Smartsel Sdn Bhd sedang giat menginformasikan Program WiFi Smart Selangor di platform media sosial dan juga melalui Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) yang sedang diadakan di seluruh Negeri Selangor.

  2. Apakah prosedur bagi mendapatkan kemudahan tersebut?

    Prosedur bagi mendapatkan kemudahan WiFi Smart Selangor adalah melalui permohonan di laman sesawang Sistem Aduan Bersepadu Kerajaan Negeri Selangor (SISPAA) atau melalui penghantaran email ke alamat wifismartselangor@smartsel.my.

    Untuk makluman juga, pemasangan WiFi Smart Selangor adalah difokuskan kepada lima (5) kluster utama iaitu:

    i) Perumahan Kos Rendah

    ii) Pendidikan, Kesihatan dan Keagamaan

    iii) Pusat Komuniti

    iv) Pengangkutan, Sukan & Rekreasi

    v) Agensi dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor

    Selain itu juga, pemasangan hotspot WiFi Smart Selangor juga bergantung kepada ketersediaan rangkaian infrastruktur telekomunikasi di sesuatu kawasan dengan had kelajuan backhaul minima yang dipersetujui iaitu 100Mbps.

  3. Berapakah jumlah Wifi Smart Selangor terkini mengikut DUN?

    Berikut adalah jumlah WiFi Smart Selangor bagi setiap daerah melalui jumlah pecahan DUN di Selangor:

    Pecahan Hotspot WiFi Smart Selangor dan populasi Penduduk di Negeri Selangor Mengikut Daerah

    Apabila dibandingkan jumlah hotspot WiFi Smart Selangor dengan jumlah bilangan penduduk, terdapat lima (5) Daerah yang mempunyai kesenjangan iaitu Daerah Petaling, Hulu Langat, Klang, Kuala Langat serta Sabak Bernam. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor melalui Smartsel Sdn Bhd akan menambahkan lagi lebih banyak hotspot di Daerah tersebut bagi memenuhi keperluan pengguna di kawasan tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.