Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
42) WIFI SMART SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menaiktaraf kelajuan Wifi Smart Selangor dan meluaskan capaian di kawasan baru?
Kerajaan Negeri telah meluluskan pelan penyahaktifan bagi 1,470 access points (AP) di bawah inisiatif WiFi Smart Selangor (WSS) bermula 1 Jun 2024. Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada Smartsel Sdn. Bhd. (SMARTSEL), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, untuk menilai semula perkhidmatan WSS dalam usaha meningkatkan kualiti capaian dan pengalaman pengguna, serta memperluaskan perkhidmatan ke lebih ramai penduduk di Selangor. Melalui kajian ini, cadangan pelaksanaan WSS baharu akan memberi keutamaan kepada:
- Peningkatan Kelajuan dan Teknologi
Menambah baik kelajuan internet di kawasan berimpak tinggi seperti kawasan berpenduduk padat, lokasi sosio-ekonomi, kawasan rekreasi, dan destinasi pelancongan utama di Selangor.
- Pemilihan Kawasan Berdasarkan Keutamaan
Setiap DUN akan dinilai bagi menentukan dua (2) kawasan utama berdasarkan impak terhadap ekonomi digital, pembelajaran dalam talian, dan perkhidmatan tele-kesihatan untuk komuniti setempat.
- Integrasi Modul Pendaftaran
Melalui aplikasi tunggal Selangor yang bakal dibangunkan, sistem token pengesahan akses akan memudahkan pengguna untuk menikmati perkhidmatan WSS, memberikan pengalaman yang lebih lancar dan mesra pengguna.
- Platform Laman Muka (Landing Page)
Model baharu WSS juga melihat kebolehlaksanaan mengintegrasikan laman muka (landing page) dengan platform agensi-agensi terpilih Kerajaan Negeri, bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan digital yang lebih meluas bagi penduduk, pelancong, dan peniaga.
- Capaian di Kawasan Kurang Infrastruktur
Kawasan tanpa jaringan gentian optik berpontensi untuk mendapat manfaat melalui sambungan rangkaian mudah alih yang stabil, memaksimumkan capaian perkhidmatan digital dan meningkatkan aspek teknikal bagi kemudahan rakyat Selangor.