Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

264) WEST COAST EXPRESSWAY (WCE)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana status pengambilan tanah bagi pembinaan lebuhraya WCE jajaran Tanjong Karang?

    Pembinaan jajaran Lebuhraya WCE yang melibatkan Tanjong Karang adalah di Seksyen 7 (Assam jawa – Tanjong Karang) sepanjang 29.5 km dan terbahagi kepada dua (2) iaitu Seksyen 7A (19.5 km) dan Seksyen 7B (10 km). Proses pengambilan tanah bagi Seksyen 7A telah selesai dan kerja–kerja pembinaan sedang giat dijalankan di tapak. Namun begitu,  pada masa ini kerja pembinaan adalah minimum dan terhad kepada kerja penyenggaraan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

    Bagi Seksyen 7B (yang terletak di Tanjong Karang), proses pengambilan tanah yang melibatkan 176 lot masih berjalan. Perbicaraan pertama pengambilan tanah bagi Seksyen 7B telah diadakan pada 24 Ogos 2020 sehingga 3 September 2020. Perbicaraan kedua pengambilan tanah untuk Seksyen 7B telah tergendala berikutan pelaksanaan PKP dan PKPD akibat pandemik Covid-19 dan pengoperasian pejabat JKPTG yang telah dihadkan. Walaubagaimanapun, tarikh sambungan perbicaraan  kedua telah dijadualkan  pada 16 Ogos 2021 dan hanya melibatkan 7 lot sahaja. Tarikh perbicaraan  bagi lot-lot lain masih belum ditetapkan.

    Pihak syarikat konsesi iaitu West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCESB) telah melantik kontraktor bagi melaksanakan kerja pembinaan di Seksyen 7B. Walaubagaimanapun, kerja pembinaan di tapak tidak dapat dimulakan kerana tapak bina masih belum diserahkan kepada pihak kontraktor berikutan kelewatan proses pengambilan tanah yang masih belum diselesaikan.

  2. Bilakah tarikh kerja pembinaan lebuhraya bagi jajaran Tanjong Karang akan dimulakan?

    Sama seperti di sub(a).

Lampiran

Tiada Lampiran.