Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

270) WEST COAST EXPRESS WAY (WCE)

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini WCE?

    Pada Mesyuarat MMKN Ke-10/2016 pada 16 Mac 2016, Kerajaan Negeri Selangor telah memutuskan supaya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi diminta memberikan perhatian dan menyediakan Kajian Impak Sosial (SIA) bagi menilai impak sosial kesan dari pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat ini, selain dari Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Trafik (TIA) dalam hal pelaksanaan WCE bagi laluan Assam Jawa – Tanjung Karang. Dengan adanya ketiga-tiga kajian ini akan memudahkan Kerajaan Negeri meneliti jajaran- jajaran yang paling sesuai (jajaran asal dan jajaran alternatif) dan memberikan pertimbangan bagi memenuhi keperluan, kemakmuran dan pembangunan kawasan sekitar. SIA yang disediakan perlu mengambil kira isu-isu tempatan yang berkaitan dengan impak ke atas kehidupan dan mata pencarian penduduk kampung, status Pekan Tanjong Karang, kebimbangan penduduk kampung terhadap jajaran asal yang membelah kampung tradisi, keselamatan pengguna jalanraya dan lain-lain isu sosial yang berkemungkinan berlaku kesan dari pembinaan lebuhraya tersebut. Kerajaan Negeri turut meminta supaya LLM membentangkan hasil kajian untuk diteliti sebelum jajaran di kawasan berkenaan dimuktamadkan. Status pembangunan bagi projek lebuhraya WCE sehingga 25 September 2016 ialah 24% berbanding peratus yang dijadualkan iaitu 32%.

  2. Adakah pihak WCE menerima rungutan rakyat berkenaan pilihan laluan yang tidak strategik?

    Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat bantahan penduduk berhubung jajaran lebuhraya WCE di Seksyen 7 iaitu dari Assam Jawa ke Tanjong Karang di sepanjang 10km terakhir yang akan melalui beberapa kampung seperti Kg. Dato‟ Ahmad Razali, Kg. Sungai Tengi dan Kg. Sungai Gulang-gulang.

     

    Sehubungan itu, pihak LLM telah diminta untuk mengkaji cadangan supaya lebuhraya ini memasuki Pekan Tanjong Karang dengan lebih awal dan tidak

     

    melalui kampung-kampung berkenaan. Jajaran bagi opsyen ini terletak berhampiran dengan tapak Hospital Tanjong Karang yang baharu. Jajaran alternatif ini juga akan melibatkan pembinaan flyover di atas jalan sedia ada sepanjang 2 km merentasi Pekan Tanjong Karang dan seterusnya akan bersambung dengan FR5 yang akan dibina oleh pihak JKR secara freeflow sehingga ke Hutan Melintang di Perak. LLM telah memaklumkan bahawa cadangan alternatif ini melibatkan kos pembinaan yang dianggarkan sebanyak RM245 juta tidak termasuk kos pengambilan balik tanah dan juga GST.

     

    Kerajaan Negeri difahamkan bahawa cadangan ini telah dirujuk kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak KKR akan merujuk kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia melibatkan peruntukan tambahan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.