Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
185) WAU TRADISIONAL
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah sebarang perancangan dari Kerajaan Negeri dalam usaha menggalakkan lagi penggiat wau tradisional di Negeri Selangor?
Permainan wau atau layang-layang sememangnya popular dalam kalangan masyarakat Melayu yang mana dahulunya ia sering dimainkan pada waktu senggang selepas musim menuai pagi. Sehingga kini juga permainan wau masih lagi dimainkan oleh para peminat wau di seluruh negara termasuk di Selangor. Bagi tujuan pemeliharaan dan pengembangan permainan tradisional ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor telah mengenal pasti wau tradisional yang popular dan sinonim dengan negeri Selangor iaitu Wau Kapal.
Pada tahun 2014, penyelidikan wau kapal telah dilakukan dan hasilnya sebuah buku Permainan Wau Kapal telah dilancarkan pada 8 Ogos 2022 oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor. Menjawab kepada soalan yang diberikan, usaha bagi menggalakkan lagi penggiat wau tradisional Selangor iaitu Wau Kapal, pelbagai program seperti pertandingan dan bengkel sentiasa dianjurkan di peringkat negeri dan daerah dengan kerjasama pelbagai agensi di Selangor. Berikut adalah program-program Wau Kapal yang dianjurkan sepanjang tahun ini:
- Festival Wau Kapal Selangor pada 29 – 30 Oktober 2022 di ILP Kuala Langat anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor
- Bengkel Pembuatan Wau Kapal Negeri Selangor – 29 Oktober 2022 di ILP Kuala Langat anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor
- Kejohanan Wau Kapal Selangor – 7 Ogos 2022 di Padang Taman Sri Andalas anjuran Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis
- Bengkel Pembuatan Wau Kapal Selangor pada 5 Mac 2022 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tanjung Sepat
Selain daripada program-program dan penyelidikan yang dilakukan, pengembangan dan promosi bagi wau kapal juga turut dilakukan melalui ciptaan lagu dan tarian khusus bagi permainan tradisional ini. Lagu dan tarian Wau Kapal adalah ciptaan sepenuhnya oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan tarian ini pernah dipersembahkan semasa sambutan Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor pada tahun 2019.
-
Senaraikan persatuan wau yang masih aktif sehingga kini.
Sepanjang proses penyelidikan dan penganjuran program yang dilakukan, pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa persatuan wau atau pelayang berdaftar di Selangor yang aktif dalam penganjuran pertandingan dan mempunyai ahli yang mahir dalam pembuatan wau khususnya wau kapal antaranya adalah seperti berikut:
- Persatuan Pelayang Negeri Selangor
- Persatuan Pelayang Bukit Kerayong, Kuala Selangor
- Kumpulan Pelayang Cagat, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor
- Persatuan Pelayang Port Klang, Klang
- Persatuan Wau Warisan Bukit Changgang
- Persatuan Layang-layang Kuala Langat
- Kelab Wau Banghuris