Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

117) WARUNG DAN BENGKEL TIDAK SAH

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah strategi kerajaan dalam menangani warung dan bengkel tidak sah?

    Kerajaan Negeri sentiasa memberikan tumpuan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi peniaga di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berada dalam keadaan yang baik terutamanya selepas dilanda COVID-19 yang memberikan kesan terhadap kenaikan harga barang dan kehilangan punca pendapatan rakyat. Bagi kelangsungan ekonomi rakyat khususnya para peniaga termasuk warung/ bengkel, Kerajaan Negeri melalui PBT telah menyediakan kemudahan kepada peniaga seperti pengeluaran lesen dengan mudah bagi menyokong perkembangan peniaga berskala mikro. Di samping itu, PBT turut menasihati peniaga yang lokasi perniagaannya tidak sesuai supaya berpindah atau memohon tapak perniagaan di tempat yang telah dizonkan oleh PBT supaya ia bersesuaian serta tidak mendatangkan kacau ganggu kepada awam.

    Walau bagaimanapun, PBT akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang enggan mendapatkan lesen atau menimbulkan aduan berkenaan kacau ganggu antaranya seperti yang berikut:

    (a)     mengeluarkan notis pertama di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 2007; atau

    (b)     mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70 (1) dan Seksyen 70 (12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] bagi struktur warung dan bengkel yang tiada kelulusan PBT dan menjalankan aktiviti di dalam premis yang tidak dibenarkan.

    (c)     mengeluarkan notis di bawah Sekyen 27, Akta Perancangan Bandar Dan Desa [Akta 172] iaitu bagi kesalahan pemajuan tanpa kebenaran merancang (KM).

    Sekiranya tidak dipatuhi, notis amaran kali kedua akan dikeluarkan. Sekiranya peniaga masih ingkar dengan kedua-dua notis amaran tersebut, PBT boleh melaksanakan sitaan dan tidak mengembalikan apa-apa barang perniagaan yang disita di bawah Seksyen 42 Penyitaan dan Seksyen 44(3) Pelucuthakan, Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 agar kesalahan aktiviti tersebut tidak berulang lagi. Selain daripada itu, tindakan perobohan juga boleh diambil di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta 133 iaitu menyenggara tapak pernigaan di tempat yang tidak dibenarkan.

    Bagi peniaga yang didapati menjalankan aktiviti pernigaan di tanah kerajaan, tindakan pengeluaran notis perobohohan boleh digunakan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965. Manakala di atas tanah persendirian, tindakan pengeluaran notis meroboh atau memindahkan boleh digunakan di bawah Seksyen 31, Akta 172 atau Seksyen 72 Akta 133.

Lampiran

Tiada Lampiran.