Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

29) WARISAN KESULTANAN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memelihara serta mengangkat Warisan Kesultanan Selangor agar tidak dilupakan oleh generasi muda?

    Sejarah mengenai kesultanan Melayu yang menjadi tonggak utama dalam pembentukan dan pentadbiran negara merupakan antara asas penting yang perlu difahami dan dihayati terutamanya oleh generasi muda yang akan menjadi pelapis bagi pucuk pimpinan negara. Sehubungan itu, usaha bagi mengangkat dan memartabatkan warisan Kesultanan Selangor sentiasa menjadi keutamaan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor. Melalui Pelan Strategik PADAT 2019-2023, beberapa Pelan Tindakan telah dilaksanakan menjurus dalam bidang penyelidikan mengenai sejarah Kesultanan Selangor.

    Antara penyelidikan berkaitan Kesultanan Selangor yang sedang berjalan adalah:

    1. Raja Muda Nala Ibni Sultan Salehuddin : Menelusuri Hubungan Kesultanan Melayu Selangor Dan Kesultanan Aceh Abad ke-18.
    2. Penyelidikan Penulisan Semula Kesultanan Selangor Sehingga Pertengahan Abad ke-20

    Bagi penyelidikan Raja Muda Nala, PADAT telah selesai melaksanakan survei dan ekskavasi arkeologi bagi mengenal pasti tapak makam Raja Muda Nala yang mangkat di Aceh. Penemuan ini turut disokong oleh fakta dan sumber hasil penyelidikan yang dilakukan. Hasil dari ekskavasi yang dilakukan, PADAT juga telah berjaya mendapatkan persetujuan dari Kerajaan Provinsi Aceh bagi mengisytiharkan lokasi tapak makam Raja Nala sebagai kawasan Pemakaman Dinasti Bugis Banda Aceh Indonesia.

    Hasil dari penyelidikan ini, PADAT sedang merancang untuk menghasilkan satu dokumentasi berdurasi 25 minit yang memaparkan perjalanan Raja Muda Nala dari Kuala Selangor ke Aceh Darussalam dalam usaha untuk membantu Ketultanan Aceh bagi menghadapi pemberontakan dan peperangan sekitar tahun 1788. Selain itu, hasil penyelidikan ini juga akan diterbitkan dalam bentuk jurnal dan buku.

    Selain daripada menjalankan kajian, pihak PADAT turut melihat kepentingan dalam melindungi dan memeliharan objek sejarah berkaitan Kesultanan Selangor dan antara tindakan yang sedang dilaksanakan oleh PADAT adalah cadangan untuk mengangkat mata wang Sultan Ibrahim dan Kitab Pohon Agama Karangan Sultan Alaeddin Suleiman Shah Sebagai Objek Warisan Ketara Warisan Kebangsaan 2007. Ketika ini Matawang Sultan Ibrahim telah pun dihantar kepada Jabatan Warisan Negara untuk pencalonan dan sedang dalam proses penilaian.

    Bukan hanya penyelidikan dan pewartaan, PADAT juga turut melaksanakan pengembangan maklumat dan kefahaman kepada masyarakat awam mengenai peranan Kesultanan Selangor dalam penyebaran agama Islam di Selangor dan ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan TV3 menerusi penerbitan dokumentari Jejak Rasul 2022 “Ulama Pewaris Rasul II”.

  2. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menjadikan Warisan Kesultanan Selangor misalnya makam raja-raja terdahulu sebagai warisan sejarah dan lokasi tarikan pelancong?

    Warisan Kesultanan Melayu khususnya Selangor sememangnya mempunyai daya tarikan dan potensi dari segi pelancongan warisan. Istana, muzium dan makam diraja merupakan antara lokasi pelancongan yang sering menjadi perhatian mereka yang berminat terhadap sejarah dan warisan kesultanan.

    Terdapat banyak usaha oleh Kerajaan negeri bagi menjadikan warisan kesultanan Selangor sebagai warisan sejarah dan lokasi tarikan pelancongan dan perkara ini dilaksanakan melalui beberapa agensi di bawah Kerajaan Negeri.

    Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam menguruskan muzium-muzium di Selangor, penceritaan mengenai sejarah Kesultanan Selangor merupakan antara elemen utama bagi pameran yang terdapat di Muzium Sejarah Kuala Selangor dan Galeri Sejarah, Muzium Sultan Alam Shah. Selain daripada muzium, PADAT juga turut menguruskan Istana Bandar (Istana Alaeddin) yang juga semakin mendapat banyak kunjungan daripada pelawat yang tertarik dengan keindahan seni bina istana ini.

    Di peringkat PADAT, usaha bagi menarik minat pelancong ke lokasi pelancongan warisan ini dilakukan melalui perkhidmatan lawatan berpandu yang disediakan secara percuma dan PADAT juga mengalu-alukan sebarang kerjasama sama ada dari agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan untuk mengadakan program di lokasi ini seperti di Istana Bandar.

    Selain daripada muzium dan monumen di bawah pengurusan PADAT terdapat juga Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang diuruskan oleh Pejabat DYMM Sultan Selangor. Galeri ini juga menawarkan perkhidmatan lawatan berpandu secara percuma dan kesemua muzium, monumen dan galeri ini turut menerima bantuan promosi daripada Tourism Selangor bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini.

    Bagi makam-makam bersejarah, terdapat tiga makam bersejarah yang diuruskan oleh PADAT iaitu Makam Saiyid Mashor di Hulu Selangor,  Kompleks Makam Kg. Lubok Jaya di Kuala Selangor dan Makam Raja Busu bin Raja Nala di Lukut, Negeri Sembilan. Buat masa ini kedua –dua tapak-tapak makam Saiyid Mashor dan Kompleks Makan Kg.  Lubok Jaya sering dikunjungi oleh para penyelidik terutamanya dalam bidang berkaitan nisan Aceh dan pihak media yang menjalankan penggambaran dokumentari. Berdasarkan kepada jumlah kedatangan pelawat ke tapak makam batu nisan Aceh Kampung Lubuk jaya menunjukkan Kuala Selangor dapat mengembangkan produk warisan arkeologi dengan menggunakan kaedah arkeotourism. Buat masa ini, permohonan lawatan kepada kedua-dua tapak ini hendaklah dihantar kepada PADAT sebelum lawatan dilakukan. Makam Raja Busu bin Raja Nala walau bagaimanapun masih belum dibuka untuk lawatan kerana masih di dalam kerja naik taraf oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

    Bagai lawatan ke makam-makam diraja pula, perkara ini perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak JAIS dan Orang Besar Daerah terlebih dahulu kerana kawasan ini tidak sama seperti muzium dan galeri yang boleh dilawati pada bila-bila masa. Lawatan ke makam-makam diraja perlu dikawal dan diselia bagi menjaga kemuliaan dan kehormatan makam diraja tersebut. Senarai Makam-makam Diraja yang terdapat di Selangor adalah seperti berikut:

    1. Makam Diraja Shah Alam, Shah Alam
    2. Makam Diraja Klang, Klang
    3. Makam Diraja Jugra (Makam Sultan Abdul Samad), Kuala Langat
    4. Makam Diraja Kota Melawati, Kuala Selangor
    5. Makam Diraja Kg. Bandar, Kuala Langat

    Sekiranya telah mendapat kebenaran lawatan, waktu lawatan yang dibenarkan pula adalah pada jam 8.00 pagi – 5.00 petang dan pengunjung perlulah berpakaian sopan dan mematuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan makam diraja.

    Namun demikian, PADAT mengambil maklum di atas cadangan untuk menjadikan makam-makan diraja sebagai salah satu produk pelancongan yang boleh dilawati oleh ramai dan akan cuba membawa perkara ini untuk dibincangkan bersama JAIS dan seterusnya ke peringkat istana untuk mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.