Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
261) WARISAN BUDAYA DAN MAKANAN
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah sudah dikenalpasti warisan budaya dan makanan untuk setiap daerah di Negeri Selangor?
Menyentuh tentang makanan tradisional, Negeri Selangor terkenal dengan tradisinya tersendiri. Keunikan dan kerencaman Selangor yang dianggap sebagai ‘melting pot’ negara mendorong kerajaan negeri untuk menjaga kepentingan semua komuniti. Makanan warisan dan tradisi Selangor adalah berasaskan etnik Melayu, Jawa, Banjar, Bugis, Mandailing, Rawa, Cina, India dan sebagainya banyak mempengaruhi serta mewarnai budaya masakan dan makanan warisan tradisional di Selangor. Dari hidangan utama seperti makanan asas yang terdiri dari nasi, lauk pauk, kuih-muih dan manisan yang disajikan dalam hidangan seharian sehinggalah ke majlis-majlis besar seperti majlis perkahwinan, kenduri doa selamat, kenduri arwah sehinggalah makanan di hari perayaan.
Antara variasi makanan warisan yang mewakili sebahagian etnik di Selangor adalah etnik Jawa yang popular dengan Nasi Ambeng, Nasi Keluban, Pecal, Sambal Taun Kulit Lembu, Lemper dan sebagainya. Bagi etnik Banjar antara makanan tradisional adalah seperti Wadei Kepeng, Kalakatar, Iwak Wadik dan tidak lupa etnik Bugis yang sinonim dengan Buras @ Burasak yang dimakan bersama Ayam Masak Lengkuas. Makanan-makanan warisan berkenaan adalah antara hidangan unik yang menyerlah dari aspek kandungan resepi, rupa bentuk, warna, rasa serta bagaimana makanan itu dipersembahkan. Selain itu, terdapat makanan dan masakan yang sinonim di satu-satu daerah seperti di daerah Sabak Bernam yang terkenal dengan Punten dan Sambal Ijo, Tat Bengkahulu yang popular dari Sungai Choh, Hulu Selangor dan Sate Kajang yang sememangnya popular di bandar Kajang hingga mendapat gelaran “Kota Sate”.
-
Mohon dinyatakan warisan budaya dan makanan tersebut mengikut daerah dan program yang telah dan akan dilaksanakan.
Berikut merupakan senarai makanan dan masakan tradisional berdasarkan hasil penyelidikan dan kajian yang dilaksanakan oleh PADAT di Lampiran A.