Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

60) WARGA IBU DI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif ataupun publisiti Kerajaan Negeri Selangor bagi mengalakkan pendaftaran ibu-ibu tunggal dengan sistem e-Bu?

    Sistem e-Bu yang disediakan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sebagai pengendali sistem tersebut merupakan inisiatif awal Kerajaan Negeri dalam mengumpul maklumat bilangan ibu tunggal yang tinggal di Selangor. Maklumat ini digunakan oleh Kerajaan Negeri dalam menyediakan jemputan ke program-program berkaitan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga agar golongan ini tidak terpinggir dalam arus pemberdayaan wanita di Selangor. Sebagai makluman semua Ahli Yang Berhormat, sehingga 27 Ogos 2018, sejumlah 17,945 ibu tunggal telah mendaftarkan diri pada sistem e-Bu tersebut.

    Kerajaan Negeri buat masa ini bercadang untuk melihat semula keperluan sistem e-Bu ini dengan mengambilkira maklumat ibu-ibu tunggal sedia ada ini untuk dimasukkan ke dalam sistem e-Kasih iaitu sebuah sistem pangkalan data bantuan berpusat yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan agar golongan ibu tunggal ini tidak keciciran dalam mendapat bantuan-bantuan yang berkaitan selain daripada tujuan penyeragaman, pemantauan dan pemberian bantuan oleh pihak Kerajaan.

  2. Adakah kita mempunyai perancangan untuk menyediakan kemudahan nurseri dan tadika di semua bangunan negeri? Jika ya, apakah garis masa untuk perancangan tersebut?

    Penyediaan kemudahan nurseri dan taska di tempat kerja oleh pihak majikan amat diperlukan oleh para ibu bapa yang bekerja masa kini dalam memastikan anak- anak mereka mendapat pengasuhan yang berkualiti.

    Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa menyokong penuh penubuhan taska di tempat kerja selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 1989 berkaitan kebajikan untuk anggota-anggota perkhidmatan awam berhubung penyediaan kemudahan pusat penjagaan kanak- kanak hendaklah diadakan di Kementerian/Jabatan/Agensi sekiranya bersesuaian.

    Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, sehingga Julai 2018, sejumlah 31 buah taska di tempat kerja di Selangor telah berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) 1984.

    Subsidi yuran pengasuhan taska di tempat kerja sebanyak RM180.00 sebulan bagi seorang anak kepada pegawai perkhidmatan awam yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5,000.00 sebulan (Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.38 Tahun 2013) bagi sektor awam dan pelepasan cukai yang boleh dituntut dari Kerajaan (Pekeliling Jabatan Hasil Dalam Negeri bertarikh 15 Februari 1996) untuk pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubahsuai dan penyelenggaraan bangunan untuk penyediaan taska oleh sektor swasta adalah antara insentif yang disediakan Kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat.

    Sehubungan itu, hasrat Kerajaan Persekutuan dalam mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh agensi perkhidmatan awam persekutuan dan negeri terutama agensi kerajaan yang melibatkan kerja secara syif menjelang tahun hadapan amat dialu-alukan dan disambut baik oleh Kerajaan Negeri yang akan turut sama memainkan peranan positif bagi memenuhi usaha murni ini.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, penubuhan sesebuah taska di tempat kerja memerlukan penelitian dari pelbagai sudut aspek yang melibatkan keperluan kesesuaian ruang dan peruntukan yang bakal terlibat dan perlu disediakan.

    Selain daripada aspek fizikal tersebut, aspek tenaga kerja yang akan terlibat, pengisian ilmu kemahiran dan pengetahuan pengasuhan selain memenuhi keperluan yang termaktub di dalam akta yang berkaitan juga perlu dilihat dalam merealisasikan hasrat penyediaan kemudahan ini.

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan sentiasa bersedia memberikan kerjasama erat kepada Kerajaan Persekutuan agar hasrat dalam menyediakan kemudahan nurseri dan tadika di semua agensi kerajaan dalam tempoh garis masa yang akan ditentukan kelak tercapai dengan penyampaian perkhidmatan asuhan terbaik untuk manfaat rakyat Malaysia amnya dan warga Selangor khasnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.