Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

208) WARGA EMAS DI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Malaysia dijangka menjadi Negara Tua pada 2030 dengan lebih 15% populasi warga emas. Apakah rancangan atau persediaan Kerajaan Negeri Selangor bagi menghadapi isu ini?

    Malaysia kini sudah dikategorikan sebagai negara menua dan sedang menuju negara tua. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Malaysia yang tua semakin meningkat pada kadar yang lebih cepat daripada jangkaan, iaitu lebih daripada 15 peratus penduduk bakal berumur melebihi umur 65 menjelang 2050. Di Selangor pula, diunjurkan menjelang tahun 2040 populasi warga emas berjumlah 1.3 juta orang.

     

    Justeru adalah menjadi keperluan untuk negeri Selangor sebagai negeri termaju untuk memformulasikan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan (Care Economy). Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengadakan Simposium Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor pada 30 dan 31 Oktober 2023. Simposium tersebut melibatkan pemegang taruh serta pakar dari pelbagai bidang untuk mengemukakan pandangan, idea, cadangan hala tuju dan strategi tentang ekonomi penjagaan yang holistik.

     

    Wacana yang dilaksanakan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar yang pelbagai termasuklah penjaga (caregivers), kanak-kanak, warga emas dan juga Orang Kurang Opaya (OKU). Dalam konteks warga emas, perhatian diberikan kepada isu-isu seputar sektor penjagaan, termasuklah isu undang-undang dan dasar, kesihatan awam, kualiti dan inklusiviti perkhidmatan, perlindungan sosial, pekerjaan, inovasi sosial serta kesejahteraan hidup warga emas.

     

    Berpandukan hasil perbincangan dan resolusi Simposium tersebut, Kerajaan Negeri akan membangunkan Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan yang akan mengiktiraf sektor penjagaan sekaligus sebagai persediaan Negeri menghadapi fenomena negeri menua pada beberapa dekad akan datang. Kerangka ini menekankan soal pengagihan semula tanggungjawab penjagaan yang perlu dipikul secara kolektif oleh empat (4) teras utama Ekonomi Penjagaan iaitu Kerajaan Negeri, Swasta, Komuniti dan Keluarga.

  2. Apakah inisiatif semasa yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan warga emas di Negeri Selangor?

    Inisiatif semasa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Program Skim Mesra Usia Emas. Ahli berdaftar akan menerima dua (2) jenis manfaat iaitu baucar beli-belah RM150 setiap tahun dan khairat kematian bernilai RM500.00 kepada waris ahli berdaftar. Selain itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan perubatan kepada semua peringkat umur melalui program seperti Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Skim Rawatan Jantung dan lain-lain. Justeru, Kerajaan Negeri akan menyelaras program-program warga emas di dalam Kerangka Tindakan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.