Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
120) WARGA ASING BERNIAGA
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah pendatang asing yang makin bebas berniaga seperti tiada kawalan di Selangor?
Kerajaan Negeri melalui PBT tidak meluluskan mana-mana lesen premis perniagaan kepada pendatang asing tanpa izin yang menjalankan aktiviti perusahaan dan perniagaan. Tindakan sitaan dan kompaun akan diambil ke atas premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan mengikut Undang-undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PBT) 2007.
PBT sentiasa menjalankan pemantauan ke atas pemegang lesen yang menjalankan perniagaan. Sekiranya pemegang lesen gagal berada di tapak perniagaan atau tidak berada di tapak perniagaan semasa proses pemantau dijalankan, notis peringatan akan dikeluarkan kepada pemegang lesen. Seterusnya tindakan pembatalan lesen dan menyenaraihitamkan pemegang lesen akan diambil sekiranya berlaku kesalahan yang berulang.
Selain itu, tindakan sitaan terhadap barang perniagaan juga akan diambil di samping mengenakan kompaun pada kadar yang maksima. Barang perniagaan yang disita ini tidak dikembalikan kepada peniaga sebaliknya akan dilupuskan mengikut prosedur sedia ada. Surat pemakluman kepada Jabatan Imigresen Malaysia juga akan dikeluarkan agar tindakan susulan terhadap warga asing ini dapat diambil di bawah akta berkaitan.