Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
124) WARGA ASING
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan warga asing yang tidak mampu bekerja ketika musim COVID dan mereka memerlukan juga bakul makanan untuk kelangsungan hidup?
Negeri Selangor merupakan sebuah negeri yang menjadi tumpuan warga asing untuk bekerja di dalam pelbagai sektor ekonomi seperti industri, perkilangan, tapak binaan dan perniagaan. Sekatan terhadap beberapa sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan sebahagian warga asing kehilangan pekerjaan ataupun kehilangan pendapatan. Walaupun mereka ini bukanlah warganegara ataupun rakyat Negeri Selangor, mereka juga telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Negeri Selangor dengan bekerja di sektor-sektor tertentu terutamanya sektor 3D iaitu Dirty, Difficult dan Dangerous. Sehubungan itu, walaupun secara umumnya bantuan-bantuan yang diumumkan di bawah Pakej Kita Selangor ditumpukan kepada rakyat Selangor yang berstatus warganegara, warga asing juga boleh memohon mana-mana bantuan yang tidak dikhususkan kepada golongan tertentu seperti bantuan Bakul Makanan yang boleh dipohon secara terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen Kawasan.