Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
130) WARGA ASING
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam mengatasi peningkatan jumlah warga asing yang datang bagi mencari kerja dan sebagainya sehingga menyebabkan kurangnya peluang pekerjaan buat warga tempatan?
Negeri Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai tahap kepesatan ekonomi yang tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain. Atas faktor ini antara lain yang menyebabkan kemasukan warga asing banyak bertumpu di kawasan bandar-bandar di Negeri Selangor bagi tujuan mendapatkan peluang pekerjaan dan menjalankan aktiviti ekonomi di samping ia memberi kesan persaingan pekerjaan antara warga asing dan warga tempatan. Persaingan ini juga secara tidak langsung memberi impak kepada kesejahteraan sosial dan keselamatan di dalam negeri.
Usaha Kerajaan Negeri Selangor dalam mengatasi peningkatan warga asing yang datang untuk tujuan bekerja di negeri ini memerlukan kerjasama dan usaha dari pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang terlibat secara terus dengan warga asing di Malaysia seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). JIM sentiasa komited dan konsisten dalam menjalankan tugas-tugas yang berkaitan hal ehwal Imigresen terutamanya melibatkan warga asing dan warga tempatan. Isu dominasi warga asing yang bekerja di Malaysia sebenarnya bukan isu yang baharu. Ini kerana kemasukan warga asing di Negeri Selangor khususnya disebabkan faktor menarik (pull factor) iaitu kepesatan ekonomi dan peluang pekerjaan yang banyak di Negeri Selangor.
Faktor ini menyebabkan warga asing sentiasa berusaha mendominasi apa jua bidang pekerjaan yang ada termasuk bidang yang mempunyai unsur 3D (Dirty, Dangerous, Difficult) yang kurang dipelopori oleh warga tempatan. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berganding bahu dengan JIM dalam usaha memantau supaya warga asing sentiasa patuh akan undang-undang berkuatkuasa di dalam negara ini.
Dalam hal ini, Kerajaan Negeri dengan dengan kerjasama JIM telah membuat suatu garis panduan khususnya ke atas majikan supaya mengambil pekerja warga asing mempunyai suatu pas yang sah dan berlaku. Dalam masa yang sama juga majikan boleh memberi keutamaan kepada warga tempatan terlebih dahulu dalam apa jua sektor pekerjaan sebelum dibuka kepada warga asing mengikut justifikasi bidang pekerjaan yang diperlukan. -
Apakah tindakan yang bakal Kerajaan Negeri lakukan bagi mengatasi masalah ini dari terus berlaku tambahan lagi dengan keadaan pendemik yang sedang berlaku di negara ini menyebabkan peluang pekerjaan buat warga tempatan semakin menipis?
Pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia telah memberi impak besar kepada sektor ekonomi, sosial dan politik sesebuah negara. Ini termasuklah Negara Malaysia yang juga menerima kesan secara langsung dari pandemik ini. Kesan pandemik ini menyebabkan sektor-sektor pekerjaan di Negeri Selangor khususnya terjejas dan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi secara keseluruhannya. Peluang pekerjaan yang wujud dalam musim pandemik ini juga semakin menguncup dan berkurangan dari masa ke semasa.
Sebelum pandemik ini berlaku, Kerajaan Negeri telah mewujudkan banyak peluang perkerjaan kepada warga asing dan warga tempatan dalam usaha merangsang dan menjana ekonomi Negeri Selangor. Usaha yang proaktif ini menjadi suatu bentuk saingan antara warga asing dan warga tempatan dalam mendapatkan peluang pekerjaan yang dimohon. Setelah berlakunya pandemik ini, sektor ekonomi mengalami penguncupan pendapatan negeri dan bidang pekerjaan yang beroperasi sebelum ini tidak dapat dijalankan akibat kesan daripada pandemik. Peluang pekerjaan yang didominasi oleh warga tempatan sebelum ini tidak dapat diteruskan akibat majikan tidak mampu untuk membayar kadar upah yang bersesuaian kepada pekerja. Ini menyebabkan warga asing mengambil peluang akan kesan ini, dengan mengambil peluang pekerjaan walau kadar upah yang rendah.
Atas dasar ini, Kerajaan Pusat melalui JIM telah membuat suatu garis panduan kepada warga asing dan warga tempatan dalam tempoh pandemik supaya mematuhi akan ketetapan yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara garis panduan yang ditetapkan merangkumi:
i. Kerajaan memutuskan untuk menutup semua pintu masuk antarabangsa iaitu pintu masuk udara, laut dan darat dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19. Larangan kemasukan ini melibatkan negara-negara asing yang mempunyai tahap penularan wabak COVID-19 melebihi 150,000 kes. Kawalan dari kemasukan ini menyebabkan tiada kemasukan warga asing ke Malaysia melainkan atas sebab-sebab yang tertentu sahaja. Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada warga tempatan untuk mendapatkan peluang pekerjaan domestik walaupun ekonomi bergerak secara perlahan.
ii. Tiada kemasukan dan pengambilan pekerja asing baharu sehingga akhir tahun 2020. Ini juga bertujuan mengekang penularan pandemik dari masa ke semasa. JIM melaksanakan pengurusan pekerja asing dengan memberi kemudahan semasa iaitu lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang berada di dalam negara ini.iii. Dasar Kerajaan juga tidak membenarkan kemasukan pelancong asing ke Malaysia dalam usaha mengawal warga asing dari menyalahgunakan Pas di samping kawalan terhadap penularan pandemik ini. Warga asing di Malaysia dikehendaki memiliki suatu Pas yang sah dan dalam masa yang sama menggunakan kemudahan Pas yang diberikan oleh JIM mengikut kepada tujuan yang terdapat di dalam Pas tersebut. Pelanggaran Pas boleh menyebabkan berlakunya kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.