Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

247) WANITA BEKERJAYA

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah yang diambil kerajaan negeri untuk menangani isu wanita berkerjaya, seperti diskriminasi di tempat kerja, perbezaan gaji, dan halangan kenaikan pangkat?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin akan isu wanita bekerjaya. Antara komitmen Kerajaan Negeri melalui Dasar Wanita dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024 – 2026 dalam Matlamat 1 iaitu Pembangunan Yang Peka Gender.

     

    Antara insiatif yang telah dilaksanakan ialah Projek Rintis Pengarusperdanaan Gender atau Gender Mainstreaming (GM) yang merupakan strategi pembangunan yang inklusif dengan mengintegrasikan perspektif gender ke dalam kesemua proses pentadbiran termasuklah perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian pelan, dasar, belanjawan dan program Kerajaan Negeri.

     

    Projek GM melibatkan 11 Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat, Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS), Yayasan Hijrah Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC).

    Melalui projek rintis ini, Kerajaan Negeri membangunkan kapasiti penjawat awam dan kakitangan anak syarikat yang dilantik menjadi Gender Focal Point (GFP) dan Gender Focal Team (GFT). Kumpulan ini bertanggungjawab melaksanakan proses audit gender bagi mengenal pasti cabaran terkait isu diskriminasi gender. Kemudian, Pelan Tindakan Gender akan dibangunkan bagi mengatasi isu dan cabaran seperti diskriminasi dan halangan kenaikan pangkat di tempat kerja.

     

    WBS juga akan melaksanakan kajian rintis berkaitan pelaksanaan sistem waktu kerja anjal (flexible working arrangement) di tempat kerja untuk melihat kebolehlaksanaan inisiatif ini. Kerajaan Negeri mensasarkan pelaksanaan fasa pertama FWA ini di peringkat anak Syarikat milik Kerajaan Negeri.

  2. Apakah statistik terkini mengenai isu-isu ini di negeri Selangor?

    Menurut Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), secara keseluruhan terdapat jurang purata gaji dan upah di antara pekerja lelaki dan wanita di Malaysia. Bagi setiap RM100 gaji dan upah yang diterima oleh lelaki, wanita menerima kadar gaji sebanyak RM93.80 dengan pekerjaan yang sama.

     

    Selain itu, dalam satu Kajian Penyelidikan Diskriminasi Gender di kalangan Penjawat Awam di Selangor pada tahun 2019 yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita & Keluarga, 43.84% wanita merasakan mereka tidak menerima peluang kenaikan pangkat yang sewajarnya di tempat kerja masing-masing dan 10.61% pernah ditanya status kehamilan kerana kehamilan memberi impak kepada produktiviti.

  3. Adakah program kesedaran atau perundangan sedang diperkenalkan untuk menangani isu ini?

    Kerajaan Negeri Selangor membangunkan Pelan Tindakan Gender (PTG) di jabatan/ agensi menerusi Projek Rintis Pengarusperdanaan Gender. Antara pelan tindakan gender yang dilaksanakan ialah kempen kesedaran membanteras diskriminasi di tempat kerja dan latihan pembangunan kapasiti kumpulan pengurusan dan professional. Pelan tindakan ini bertujuan untuk membangunkan kapasiti dalam meletakkan perspektif gender dalam gerak kerja dan pelaksanaan yang dijalankan untuk memastikan isu diskriminasi di tempat kerja, perbezaan gaji dan isu kenaikan pangkat tidak berlaku di peringkat jabatan/ agensi.

Lampiran

Tiada Lampiran.