Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

182) WANG ZAKAT

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah lebihan wang zakat dari 2017-2020?

    Secara umumnya, tiada lebihan dana zakat yang tidak diagihkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dari tahun 2017-2020. Hal ini kerana Majlis Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa bagi melicinkan operasi agihan zakat, wang kutipan zakat pada akhir tahun semasa (Disember) boleh dibawa ke hadapan dan hendaklah diagihkan untuk keperluan asnaf dalam tempoh enam bulan berikutnya. Ini berdasarkan kepada kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bersidang pada 28 Ogos 2012 berkaitan keperluan pengurusan agihan tunai yang lancar demi kesejahteraan penerima bantuan zakat.

  2. Bagaimanakan kaedah menguruskan lebihan wang zakat tersebut?

    Umumnya, tiada lebihan dana zakat yang tidak diagihkan oleh LZS. Hal ini kerana Majlis Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa bagi melicinkan operasi agihan zakat, wang kutipan zakat pada akhir tahun semasa (Disember) boleh dibawa ke hadapan dan hendaklah diagihkan untuk keperluan asnaf dalam tempoh enam bulan berikutnya. Untuk makluman, kebiasaannya kutipan zakat pada bulan Disember adalah tinggi dan ia mustahil untuk diagihkan pada akhir Disember tahun tersebut. Maka, kutipan zakat itu akan dibawa ke tahun berikutnya untuk diagihkan bagi memenuhi komitmen agihan kepada asnaf terutama melibatkan bantuan berterusan/berkala seperti bantuan kewangan bulanan, bantuan sewa rumah, bantuan dialisis dan sebagainya. Hal ini kerana kebiasaannya kutipan zakat pada awal tahun adalah rendah. Oleh itu, kutipan Disember ini membantu untuk menyantuni komitmen bantuan kepada asnaf pada awal tahun terutama melibatkan bantuan berterusan/berkala.

  3. Apakah mekanisma bagi memudahkan proses memilih asnaf yang layak menerima wang zakat?

    Bagi memilih asnaf yang layak menerima zakat, LZS mengguna pakai had al-kifayah yang merujuk kepada garis kecukupan minimum bagi keperluan asasi seseorang individu dan tanggungannya berdasarkan kos sara hidup masa kini. Dalam konteks di Negeri Selangor, had al-kifayah merujuk kepada suatu kadar keperluan asasi yang paling minimum bagi sesebuah isi rumah yang ditetapkan oleh LZS berdasarkan kajian lapangan terhadap kos sara hidup masa kini. Enam perkara yang diambil kira dalam menentukan had al-kifayah sesebuah keluarga iaitu: makanan, tempat tinggal, pakaian, pendidikan, pengangkutan, kesihatan.  Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan, tidak mampu memenuhi kecukupan minima bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dikategorikan sama ada fakir ataupun miskin. Untuk makluman, had al-kifayah telah diguna pakai sejak tahun 2001 lagi dan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa. Kadar had al-kifayah bagi Negeri Selangor yang diguna pakai pada masa ini telah dikemas kini pada tahun 2020 bagi menggantikan kadar lama yang telah digunakan sejak tahun 2018. Berikut adalah kadar had al-kifayah yang digunakan oleh LZS bagi menentukan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf:

     

    Jadual 1 : Had al-Kifayah Bagi Keperluan Asasi Umat Islam Negeri Selangor (Tahun 2020)

    Bil Kategori Isi Rumah Kadar Had Al-Kifayah (RM)
    Kediaman Berbayar Kediaman Percuma
    1 Ketua Keluarga 1,078 695
    2 Dewasa Bekerja (18 Tahun Ke Atas) 404
    3 Dewasa Tidak Bekerja (18 Tahun Ke Atas) 181
    4 Anak Belajar IPT 592
    5 Tanggungan Berumur 7-17 Tahun 334
    6 Tanggungan Dibawah 6 Tahun 145
    Jumlah 2,734 2,351
    Had Al-Kifayah Tambahan (Jika Berkenaan)
    1 Tanggungan Anak Kelainan Upaya (OKU) 224
    2 Tanggungan Pesakit Kronik 222
    3 Kos Penjagaan Anak 290

     

    Selain itu, proses pemilihan asnaf ini juga melibatkan 1,900 penolong amil kariah (PAK) yang dilantik LZS di setiap kariah di Negeri Selangor. PAK bukan sahaja berperanan menjalankan bancian asnaf fakir dan miskin berdasarkan had al-kifayah, malah turut menjalankan semakan semula status asnaf dan menguruskan permohonan bantuan zakat di kariah masing-masing.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.