Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
56) WABAK LEPTOSPRIROSIS
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Dato' Dr. Karim Bin Mansor
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah kes Leptosprirosis (kencing tikus) yang telah berlaku di Selangor?
Dari data Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), sebanyak 158 kes telah disahkan sebagai kes leptospirosis di seluruh negeri Selangor dari Januari sehingga Jun 2010.
-
Apakah tempat-tempat rekreasi seperti kawasan air terjun dan jeram selamat dari wabak ini?
Manusia boleh dijangkiti Leptospirosis menerusi kontak dengan air yang dicemari air kencing haiwan seperti tikus, anjing, lembu, kuda, musang dan lain-lain yang mengandungi kuman leptospira atau termakan/terminum air yang tercemar dengan air kencing haiwan tersebut. Oleh yang demikian, mana-mana tempat (termasuklah tempat rekreasi atau pun jeram) adalah berisiko untuk dicemari air kencing haiwan tersebut. Di samping menjadi habitat semulajadi, keadaan persekitaran yang kotor turut mengundang roden untuk membiak seterusnya mencemari persekitaran dengan air kencing yang mengandungi kuman Leptospira. Sama ada sesuatu tempat itu selamat atau tidak, ianya tidak boleh dipastikan. Ketiadaan kuman leptospira dalam sampel air persekitaran tidak mengesahkan tempat tersebut bebas dari leptospira kerana kuman ini dibebaskan melalui air kencing secara ‘intermitten’.
-
Apakah tindakan proaktif yang telah diambil untuk menghadapi wabak ini?
- Antara tindakan proaktif yang telah dilaksanakan oleh Jabatan adalah:
- Setiap kes yang disahkan sebagai Leptospirosis wajib dinotifikasi dan pencarian kes lain secara aktif (Active Case Detection) akan dijalankan bagi mencari faktor risiko jangkitan.
- Jabatan Kesihatan telah mengedarkan surat berkenaan wabak Leptospirosis kepada Jabatan Pelajaran Negeri dengan maksud memberi makluman risiko jangkitan yang dikaitkan dengan aktiviti lasak atau berkhemah di tempat rekreasi / hutan / jeram dan sebagainya.
- Pihak Jabatan juga telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha resort dan pusat rekreasi bagi memaklumkan berkenaan perlunya memasang papan tanda amaran risiko kesihatan di resort masing-masing bertujuan meningkatkan kesedaran pengunjung mengenai risiko jangkitan serta keperluan mendapatkan rawatan segera dalam tempoh 2 minggu dari tarikh pendedahan.