Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
65) WABAK DENGGI MENULAR DAN KES CHIKUGUNYA
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan langkah-langkah drastik dan keberprihatinan yang telah diambil oleh pihak yang bertanggungjawab dalam pembasmian nyamuk aedes dan kes Chikugunya di samping penyertaan orang ramai dalam menjaga kebersihan kawasan.
Bermula daripada 31 Januari 2009, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah melaksanakan operasi basmi aedes bersepadu pada hujung minggu (31/1/09 – 1/2/09, 14/2/09-15/2/09 dan 28/2/09–1/3/09) melibatkan mobilisasi anggota dari kesemua daerah di Selangor seramai 476 orang, 149 pasukan semburan kabus serta 19 unit ULV. Semasa operasi ini anggota kesihatan melaksanakan kempen “luangkan 10 minit hujung minggu anda”, dan membuat pemeriksaan pembiakan aedes dari rumah ke rumah serta semburan kabus di keseluruhan lokaliti wabak yang telah dikenal pasti. Jabatan Kesihatan juga akan memastikan setiap kes yang dinotifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah akan di buat langkah kawalan iaitu pemeriksaan pembiakan aedes serta semburan kabus di rumah pesakit dan 200 meter sekitarnya dalam masa kurang 48 jam. Terkawal dengan memobilisasi anggota daripada daerah yang kurang kes denggi ke daerah yang tinggi kes denggi iaitu Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Klang.
-
Sejauh manakah tindakan yang dikenakan oleh pihak yang bertanggungjawab kepada mereka yang didapati bersalah kerana menjadikan premis mereka tempat pembiakan nyamuk aedes terutama di tapak-tapak projek yang terbengkalai?
Sehingga 28 Februari 2009, sejumlah 2,051 kompaun bernilai RM 201,625.00 telah dikenakan kepada premis yang membiak nyamuk aedes. Daripada jumlah tersebut, 1,905(2.9%) melibatkan rumah kedai, 57(2.8%) kilang, 15(0.7%) tapak binaan dan 12(0.6%) sekolah.
-
Sila beri perincian berkenaan kawasan yang telah dikenal pasti berisiko tinggi dalam kes demam denggi dan chikugunya dalam tempoh pemantauan pihak yang bertanggungjawab.
Terdapat 53 Kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokaliti wabak tidak terkawal di Selangor iaitu 26 lokaliti di daerah Petaling ( 5 lokaliti di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya dan 21 di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam), 8 lokaliti di daerah Hulu Langat ( 3 lokaliti di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan 5 di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang) 9 lokaliti di daerah Gombak, 5 lokaliti di daerah Klang, 3 lokaliti di daerah Hulu Selangor dan 2 lokaliti di daerah Sepang.