Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
199) WABAK DENGGI
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah yang menyebabkan Selangor kekal menduduki rangking pertama dalam senarai kes denggi di Malaysia?
Antara faktor utama yang menyumbang kepada permasalahan kes demam Denggi di negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Kepadatan penduduk iaitu seramai 6.2 juta. Jumlah ini tidak termasuk jumlah pendatang asing yang tidak diketahui bilangannya; dan
- Kepesatan pembangunan yang mendorong kepada kewujudan tapak bina yang banyak di sekitar Selangor.
-
Nyatakan jumlah peruntukan kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi denggi dari 2014-2016
Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM15,031,303.16 sejak tahun 2014 sehingga tahun 2017 bagi melaksanakan aktiviti kawalan dan pencegahan kes demam Denggi walaupun perkara berkaitan Kesihatan terutama demam Denggi adalah di bawah bidang kuasa pihak Kerajaan Persekutuan. Jumlah peruntukan ini tidak mengambil kira sepenuhnya peruntukan yang telah digunakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan negeri Selangor yang turut melaksanakan tindakan kawalan bagi memastikan kes demam Denggi dapat dikurangkan. Jadual 1 menunjukkan pecahan peruntukan bagi tindakan kawalan kes demam Denggi.
TAHUN PERUNTUKAN KERAJAAN NEGERI (RM) CATATAN 2014 32,050.00 Tidak termasuk peruntukan PBT 2015 580,000.00 Tidak termasuk peruntukan PBT 2016 2,686,780.00 Termasuk kutipan sampah pukal di lokaliti hotspot 6,732,473.16 Peruntukan daripada PBT 2017 5,000,000.00 Tidak termasuk peruntukan PBT JUMLAH 15,031,303.16 Jadual 1: Pecahan peruntukan bagi tindakan kawalan
kes demam Denggi.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri melalui PBT untuk meningkatkan penyeliaan wabak denggi di semua kawasan kritikal?
Bagi memastikan kadar kes demam denggi terus berkurangan untuk tahun 2017, Kerajaan Negeri melalui PBT dan PKD akan meningkatkan tahap penyeliaan wabak denggi di semua kawasan kritikal. Kerajaan Negeri telah melancarkan satu Program Semburan Aerosol Selangor – SAS pada 26 Februari 2017 di semua Pihak Berkuasa Tempatan. Program ini adalah satu langkah proaktif bagi mengawal dan mencegah penularan wabak denggi yang bermula di rumah.
Program SAS ini di ilhamkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya penggunaan Aerosol di dalam rumah supaya ahli keluarga dapat dilindungi daripada nyamuk aedes yang berkemungkinan berada dekat dengan anda. Kaedah pencegahan ini amat mudah dilaksanakan oleh setiap isi rumah dengan mematuhi arahan yang terdapat pada label. Ini merupakan fasa pertama yang telah dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor bagi mencegah kes demam denggi daripada terus meningkat. Langkah ini diambil lanjutan peningkatan kes yang berterusan sejak 10 minggu kebelakangan ini dan tidak mahu peningkatan kes yang mendadak berulang seperti tahun sebelumnya.
Kerajaan Negeri telah menyumbang dan mengagihkan aerosol bagi kawasan yang berisiko terkena jangkitan denggi melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan akan diteruskan pelaksanaannya oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi satu tempoh masa 3 bulan pertama. Semua Ahli Dewan Negeri boleh menggunapakai peruntukan denggi RM10,000.00 di kawasan masing-masing bagi meneruskan dan menggalakkan penggunaan aerosol di dalam rumah.
Sejumlah besar peruntukan Denggi bagi tahun 2017 adalah untuk membuat aktiviti kawalan melalui pelantikan ‘Pest Controller Operator’ di Pihak Berkuasa Tempatan. Peruntukan ini dapat membantu PBT untuk melaksanakan aktiviti kawalan dan pada masa yang sama, PBT boleh melaksanakan tindakan pencegahan yang akan dilaksanakan secara menyeluruh.
Kerajaan Negeri akan meneruskan penyeliaan kawasan-kawasan kritikal yang telah dikenal pasti seperti kawasan perumahan berstrata dan kawasan perumahan yang mempunyai lorong belakang. Beberapa program telah dirancang dan akan dilaksanakan pada tahun ini bersama PBT dan PKD bagi memastikan kes denggi di Negeri Selangor dapat dikurangkan.