Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
372) VANDALISME KEMUDAHAN AWAM
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah program yang telah dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang awam tentang vandalisme?
Polis Selangor sentiasa menganjurkan program bersama pihak sekolah, IPTA, IPTS, masjid dan lain agensi untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menjaga harta benda awam dan menjalankan kempen kesedaran melalui media sosial dan media massa. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas ke atas pesalah-pesalah vandalisme.
Sepanjang Tahun 2023, walaupun tiada program khusus yang dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang awam bahayanya perbuatan vandalisme, namun kesedaran vandalisme ini telah diselitkan semasa program-program pencegahan jenayah, Polis Bersama Masyarakat dan juga semasa lawatan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ke sekolah serta Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) semasa lawatan mereka.
-
Bagaimana kerajaan menangani vandalisme ini?
Kerajaan mencadangkan bagi pesalah jenayah vandalisme untuk dikenakan hukuman yang tegas serta tambahan hukuman khidmat masyarakat agar masyarakat sedar bahawa perbuatan vandalisme ini adalah satu perbuatan yang menyalahi undang-undang.
Sekiranya terdapat aduan polis mengenai vandalisme ini, pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut seksyen kesalahan yang berkaitan yang menjuruskan kepada tangkapan dan pertuduhan di mahkamah.
-
Selain kemudahan awam, apakah terdapat juga masjid dan rumah ibadah yang menjadi tumpuan mereka melakukan perkara yang sama dalam pemerhatian Kerajaan Negeri?
Hasil semakan mendapati, sepanjang tahun 2023, tiada sebarang kesalahan vandalism dilaporkan ke atas rumah ibadat atau masjid.
Program atau inisiatif Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) yang dilaksanakan oleh Polis DiRaja Malaysia. Di bawah program ini, (1) pegawai polis dipertanggungjawabkan sebagai Liason Officer antara pihak pengurusan Masjid dengan PDRM. PPM ini telah mewujudkan silaturahim serta membantu pencegahan sebarang bentuk aktiviti jenayah.
Lawatan yang kerap dilakukan oleh Mobile Patrol Vehicle (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) kepada masjid dan rumah ibadat secara langsung membantu dalam pencegahan jenayah dan melahirkan rasa selamat.