Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
2) VAN DRT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prestasi perkhidmatan van DRT dari Kerajaan Selangor setakat ini?
Kerajaan Negeri di dalam pembentangan belanjawan Negeri Selangor 2023 telah meluluskan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) yang menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit. Sistem DRT di Selangor adalah merujuk kepada penggunaan sebuah kenderaan secara perkongsian seperti Van dan Bas Kecil yang dipacu oleh perisian pintar bagi memastikan pengguna dari lokasi berbeza dapat diambil dan dihantar ke destinasi berbeza mengikut masa yang ditetapkan. Sasaran tumpuan lokasi adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (First-and-last mile) sistem pengangkutan awam.
Perkhidmatan DRT ini telah dilancarkan semasa Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 pada 20 Oktober 2023. Sebagai permulaan, empat (4) kawasan telah dipilih sebagai lokasi projek rintis DRT iaitu Puchong, Gombak, Ampang dan Subang Jaya. Pengoperasian Van DRT Mobiliti Selangor di bawah projek rintis ini dijangka akan bermula pada 20 November 2023 untuk tempoh enam bulan.
Sebagai galakan kepada penggunaan perkhidmatan ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menyalurkan subsidi kepada setiap pengguna yang menggunakan perkhidmatan tersebut. Pengguna hanya dikenakan cas RM2 untuk setiap penggunaan dan RM3 akan ditanggung oleh pihak kerajaan.
Kerajaan Negeri akan memperluaskan penggunaan DRT ini ke kawasan–kawasan yang lain. Walau bagaimanapun, bagi memastikan perkhidmatan ini dapat terus ditambah baik, Kerajaan Negeri akan mendapatkan hasil dapatan berkaitan maklum balas pengguna daripada kawasan–kawasan perintis iaitu di Puchong, Ampang, Gombak dan Subang Jaya sebelum perkhidmatan van DRT ini diperluas ke lapan (8) zon tambahan menjelang tahun 2024.