Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

173) VAKSIN COVID-19

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakan kerajaan Selangor merancang untuk memberi vaksin dos ke-3 kepada rakyat?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari:

    Bukit Lanjan (N37) No.175 (a);

    Sungai Air Tawar (N01) No.238 (a);

    Bukit Gasing (N34) No.246 (a); dan

    Rawang (N14) No.247 (a).

    Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kadar vaksinasi yang tinggi di kalangan rakyat merupakan salah satu langkah dalam memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan seperti biasa, dengan pendekatan norma baharu. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada 30 Jun 2021. SelVAX yang bertujuan mempercepatkan kadar imunisasi rakyat negeri Selangor bagi tujuan mencapai imuniti kelompok memberikan tumpuan kepada petugas barisan hadapan ekonomi melalui SelVAX Industri dan komuniti setempat melalui SelVAX Komuniti dan Remaja.

    Susulan daripada kelulusan penggunaan vaksin Sinovac sebagai dos penggalak (booster dose) oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 17 November 2021, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan bagi membenarkan rakyat Selangor mendapatkan dos penggalak di klinik-klinik panel Selcare secara jumpa terus (walk in). Perincian bagi perkara ini sedang diperhalusi bersama pihak Selcare dan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Lampiran

Tiada Lampiran.