Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
153) USAHAWAN TANI
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor menyediakan rancangan untuk membantu usahawan tani muda untuk meningkatkan hasil produk pengeluaran dan pendapatan mereka?
Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat terhadap semua golongan dan lapisan masyarakat yang terlibat di dalam sektor pertanian khususnya kepada golongan generasi muda atau usahawan tani muda.
Sehubungan dengan itu juga, satu program khas telah dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang khusus bagi membantu golongan muda atau usahawan tani muda dan secara keseluruhannya meliputi golongan petani, penternak, usahawan akuakultur dan Industri Asas Tani (IAT). Program tersebut yang dikenali sebagai Program Pembangunan Agropreneur akan merangkumi penyediaan insentif dalam bentuk peralatan dan input pertanian, pembukaan kawasan pertanian yang baharu serta program kursus dan seminar bagi menyampaikan dan melatih agropreneur baharu agar menjadi lebih berdaya saing dan berpengetahuan. Melalui program tersebut juga, penumpuan akan diberikan kepada pengeluaran hasil yang tinggi untuk kawasan berkeluasan kecil (high value crop) dan berkonsepkan pertanian moden.
-
Jika ada, berapakah sasaran bilangan usahawan tersebut yang akan dibantu pada tahun 2018 dan apakah jenis bantuan yang disediakan?
Sehingga 2017, seramai 96 usahawan tani muda telah diberikan bantuan atau insentif yang melibatkan pelbagai bidang usaha seperti tanaman berkonsepkan fertigasi, ternakan ayam, kambing dan lembu, akuakultur dan tanaman kontan. Jumlah insentif yang telah diberikan adalah sebanyak RM1,366,719.00.
Bagi tahun 2018 pula, sejumlah 84 usahawan tani muda telah diluluskan untuk diberikan insentif mengikut bidang usaha masing-masing yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1,978,123.00. Antara jenis bantuan yang telah diluluskan adalah seperti peralatan fertigasi, peralatan akuakultur, makanan ternakan, bahan binaan kandang ternakan, input pertanian dan peralatan penternakan lebah kelulut.
Dalam pada itu juga, mulai tahun 2019, pelarasan dari segi peruntukan untuk membantu usahawan di sektor pertanian akan dilaksanakan bagi memastikan setiap peruntukan di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat tidak bertindih dan seterusnya peruntukan tersebut dapat dioptimiskan dengan lebih tepat kepada golongan sasar.