Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

178) USAHAWAN PERTANIAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif dan penggalak kepada pengusaha pertanian yang tidak mempunyai modal atau pengalaman untuk bergiat dalam bidang pertanian?

    Pelbagai program Insentif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam membangunan pengusaha-pengusaha pertanian di Negeri Selangor telah dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan telah menyediakan pelbagai projek dan program untuk menggalakkan serta membantu para petani mengembangkan usaha tani mereka melalui pelbagai bentuk insentif. Antara Insentif yang disediakan adalah dari segi pembangunan infrastruktur ladang, bantuan input-input dan peralatan pertanian dan juga pembangunan modal insan petani melalui Latihan, kursus-kursus dan program-program pemindahan teknologi yang lain. Selain insentif tanaman makanan, Jabatan Pertanian juga membantu dalam membangunkan usahawan-usahawan Industri Asas Tani yang merupakan industri hiliran bagi rantaian bekalan makanan negara.

  2. Agensi mana yang dapat membantu golongan tersebut?

    Agensi- agensi dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang berada di Negeri Selangor seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI, Lembaga Nanas Malaysia, Agrobank dan Tekun Nasional.

  3. Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk merapatkan jurang pembangunan sosio ekonomi di antara luar bandar dan bandar supaya kekayaan ekonomi negeri dapat dikongsi bersama?

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu inisiatif peningkatan pendapatan petani melalui Pertanian Bernilai Tinggi dimana penanaman tanaman buah-buahan dan sayuran yang bernilai tinggi bermula dari tahun 2020 lagi. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan 12 tanaman bernilai tinggi yang akan diperluaskan penanamannya bagi menjana ekonomi petani di luar bandar melalui aktiviti pertanian yang sama. Antara tanaman yang giat diperluaskan buat masa ini adalah tanaman melon, halia, cendawan, nanas dan jagung bijian. Melalui program ini, peduduk luar bandar yang merupakan kawasan tumpuan pertanian akan menjana pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan sosioekonomi golongan petani ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.