Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

221) USAHAWAN BELIA DAN HIJRAH SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan atau inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan kegiatan usahawan di kalangan belia?

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Peruntukan ini adalah secara menyeluruh kepada usahawan di Negeri Selangor tidak mengira golongan tertentu.  Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    1. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini. Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.

     

    1. Klinik Usahawan Selangor

    Penubuhan Klinik Usahawan Selangor yang diselia oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah bertujuan untuk memberi bantuan dan khidmat nasihat perniagaan dari aspek urus tadbir, pemasaran, pengurusan kewangan dan peluang pembiayaan. Ia juga bertujuan untuk membimbing secara menyeluruh dalam menguruskan perniagaan dan menyelesaikan masalah, ketidakupayaan dan kekangan yang membantutkan pengembangan perniagaan. Melalui Klinik Usahawan ini, Kerajaan Negeri dapat mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan, seterusnya menyarankan mereka untuk menyertai latihan-latihan yang dapat membantu meningkatkan kemahiran usahawan dalam menjalankan perniagaan.

     

    • Pensijilan Halal Negeri Selangor

    Program dijalankan oleh Halal International Selangor (HIS) dengan kerjasama JAIS.  Ia terbuka kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal produk dan meningkat daya saing dan pasaran produk.

     

    1. Program Peningkatan Pembungkusan Produk

    Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan dan bersedia menembusi pasar raya rantaian dan pasaran eksport.

     

    1. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    Hijrah Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2020. Pembiayaan modal ini tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal. Skim pinjaman yang ditawarkan di bawah agensi ini adalah seperti berikut:

     

    • i-Bisnes

    Pinjaman diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

     

    • i-Bermusim

    Pinjaman mikro kredit berbentuk kewangan sehingga RM20,000.00 kepada usahawan bermusim seperti perayaan dan musim buah-buahan.

     

    • Skim Zero to Hero

    Program ini merupakan pakej latihan dan bimbingan perniagaan oleh syarikat peneraju selama tiga (3) hingga enam (6) bulan. Ia menawarkan pakej dalam bidang perniagaan, pembuatan, pertanian, perikanan, peruncitan dan jualan dalam talian.

     

    • NADI (Skim Niaga Darul Ehsan)

    Bantuan ini berbentuk pinjaman modal dari RM1,000.00 sehingga RM5,000.00 khusus untuk wanita yang ingin memulakan perniagaan dalam kumpulan seramai 3 orang. Pembiayaan ditawarkan selama (3) hingga enam (6) bulan.

    • GO Digital (Skim Pembiayaan Digitalisasi)

    Skim ini ditawarkan kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan. Pinjaman ditawarkan sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan enam (6) bulan sehingga tiga (3) tahun.

     

    1. Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM)

    Program ini meliputi pemberian geran peralatan, latihan dan program mentor perniagaan. Berikut merupakan perincian program di bawah SITHAM:

    • Latihan Pembangunan (Pengurusan)

    Siri latihan keusahawanan berbentuk pentadbiran perniagaan, pemasaran dan promosi serta pengurusan kewangan.

    • Latihan Kemahiran (Skill/Pembuatan)

    Siri latihan keusahawanan berbentuk kemahiran dan pembuatan.

    • Program Getting Reach Own Way (GROW)

    Program secara mentor dan menti di mana usahawan baharu dilatih oleh industry key-player.

    • Dana Usahawan India Selangor (DUIS)

    Pemberian bantuan barangan perniagaan/peralatan secara one-off.

     

    Manakala bagi program yang dijalankan dengan pihak agensi memfokuskan pada golongan muda, Jawatankuasa Tetap Keusahawanan telah bekerjasama dengan UiTM Shah Alam dalam membangunkan usahawan muda iaitu Mahasiswa UiTM yang berada di Fakulti Perniagaan melalui Program FBM Innovation dan Biz Pitch Fest 2023 yang mana kedua-dua program ini memberikan bimbingan dan pendedahan kepada mahasiswa dalam perniagaan. Bagi perancangan tahun 2024, Program Pembangunan Usahawan Muda (SAY Belia) akan dilaksanakan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) untuk membangunkan usahawan muda melibatkan peruntukan sebanyak RM150,000.00. Program ini memberi fokus kepada usahawan belia yang memerlukan bimbingan serta latihan khusus dalam membangunkan perniagaan. Program ini akan dilaksanakan selama 6 bulan yang merangkumi asas peniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran dan penempatan produk.

  2. Berapakah jumlah belia berusia 18-35 tahun yang menjadi peminjam program Hijrah Selangor pada tahun 2020-2023?

    Jumlah belia berusia 18-35 tahun yang menjadi peminjam program Hijrah Selangor pada tahun 2020-2023 adalah seperti berikut:

    Bil Perkara

    Keterangan

     

    1. Bilangan Peminjam

    6,202 orang

    2. Bilangan Pembiayaan Dikeluarkan

    7,453 pembiayaan

    3. RM Pembiayaan

    RM 89,117,000.00

Lampiran

Tiada Lampiran.