Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

294) USAHAWAN BAHARU DAN KREATIF

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Dato' Noorazley Bin Yahya

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat data yang menunjukkan jumlah usahawan yang telah menceburi
    ekonomi baharu dan kreatif di Selangor? Sekiranya ada, apakah bentuk ekonomi baharu
    dan kreatif yang diusahakan di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri masih dalam proses untuk mendapatkan data berhubung usahawan ekonomi kreatif di Negeri Selangor. Secara umumnya, kategori ekonomi kreatif akan difokuskan kepada 2 skop utama iaitu :

    1. Seni Budaya – Kraf, seni visual, seni persembahan, penulisan kreatif, fesyen & tekstil
    2. Multimedia – Penerbitan filem & tv, pengiklanan, senireka, animasi & kandungan digital

    Sepertimana YB sedia maklum, Ekonomi Kreatif merupakan satu portfolio baharu dan Jawatankuasa Tetap Keusahawanan sedang merangka pelbagai inisiatif untuk mempertingkatkan penyertaan dan aktiviti di bawah Ekonomi Kreatif.

  2. Apakah terdapat apa-apa perancangan daripada kerajaan negeri atau agensi-agensi
    kerajaan dalam usaha untuk mendedahkan usahawan di luar bandar untuk menggunakan digitalisasi
    sebagai medium perniagaan? Sekiranya ada, apakah perancangan-perancangan tersebut?

    Dalam usaha untuk mendigitalisasikan usahawan di Negeri Selangor terutama usahawan yang berada di luar bandar, Inisiatif Platform Selangor (PLATS) telah diwujudkan untuk menawarkan platform promosi dan direktori digital secara percuma kepada usahawan di Negeri Selangor. Selain itu, Program Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) turut ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang merupakan program latihan bagi mempersiapkan peniaga ke arah digitalisasi.

    Selanjutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan program Program Selangor 1000 Digital untuk mendigitalisasikan usahawan di Selangor secara tuntas melalui satu kempen utama bermula bulan Mei 2024 hingga bulan September 2024. Kempen utama ini memfokuskan kepada dua (2) elemen utama digitalisasi iaitu :

    1. Memperkasakan 500 usahawan e-dagang dengan teknologi dan penyelesaian digital yang membuka potensi tumbesaran usahawan
    2. Melahirkan 500 hos penstriman langsung (live seller) yang boleh menjana pendapatan melalui platform digital

    Program Selangor 1000 Digital ini akan dilaksanakan di lima (5) daerah iaitu di Shah Alam, Tanjung Karang, Kota Warisan, Bandar Baru Bangi dan Taman Melawati, dengan sasaran sebanyak 1000 peserta secara keseluruhan.

Lampiran

Tiada Lampiran.