Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
265) USAHAWAN ANTARABANGSA
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Usahawan
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri menyediakan program bagi mengembangkan kemampuan usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa?
a) dan b)
Setiap tahun, salah satu usaha Kerajaan Negeri adalah untuk melahirkan usahawan berjaya yang memberi fokus bukan sahaja kepada bilangan usahawan tetapi proses sehingga mencapai tahap penembusan dan meluaskan pasaran antarabangsa (market penetration and expansion). Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri mengadakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS) kepada usahawan yang sudah bersedia untuk meluaskan pasaran ke pasar raya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Program Pembungkusan Produk MIS ini telah dijalankan sejak tahun 2012 dan telah melibatkan seramai 79 usahawan Selangor. Sebelum ini, program Pembungkusan Produk MIS terbuka kepada usahawan di Tahap 1, di mana perniagaan yang diusahakan di dalam skala kecil hingga sederhana. Namun bermula tahun 2016, program Pembungkusan Produk MIS telah menekankan kepada usahawan di Tahap 3 di mana produk usahawan telah mempunyai pensijilan halal dan program ini menambahbaik tahap pembungkusan produk untuk ke arena antarabangsa. Beberapa siri bengkel dijalankan di mana modul program merangkumi keperluan teknikal, strategi penjenamaan, peraturan pelabelan dan pembungkusan, keperluan dan peningkatan teknologi, proses pendaftaran jenama dan barcode dan pembangunan asas kawalan kualiti ke arah perlaksanaan GMP dan persijilan Halal Malaysia. Hasil daripada penyertaan program Pembungkusan Produk MIS ini, produk usahawan akan mencapai piawaian dan standard untuk dipasarkan bukan sahaja ke pasaran tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.
Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran. Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan menyediakan platform promosi dengan menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor. Penganjuran ekspo dan pameran ini telah memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa. Usahawan yang paling berjaya pada tahun 2016 adalah Syarikat Inspire Human Capital Development Sdn Bhd yang menghasilkan produk kerepek seaweed jenama Teego semasa pameran MIHAS yang berlangsung pada 30 Mac – 2 April 2016. Syarikat ini telah memperolehi kontrak pembekalan ke 3 buah negara iaitu Dubai, Jeddah dan Jepun. Pada PIHEC 2017 yang berlangsung pada 24 – 26 Februari 2017, Syarikat Dhuha Tensai Resources yang menjual makanan Korea telah mendapat tempahan daripada Singapura. Manakala syarikat Bio-Haruantech (M) Sdn. Bhd. di bawah label Rezza Brand yang menjual pelbagai produk mi segera telah mendapat tempahan daripada Singapura, Brunei, Hong Kong, China dan Korea. Selain itu, pada MIHAS 2017 yang berlangsung pada 5 – 8 April 2017, Syarikat Yusa Food Products Sdn. Bhd. telah mendapat tempahan daripada Singapore, Vietnam, China dan kini sedang dalam perbincangan bersama syarikat daripada United Kingdom.
Pada tahun ini, buat pertama kali Kerajaan Negeri telah menyertai pameran antarabangsa ke China ASEAN Expo (CAEXPO) 2017 pada 12 hingga 15 September 2017 di Nanning, China anjuran People’s Government of Guangxi Zhuang Autonomous Region dan ditaja oleh Ministry of Commerce, P.R. China. Kerajaan Negeri Selangor menyertai pameran ini melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memandangkan badan ini berperanan untuk mempromosi, membantu dan membangunkan perdagangan luar Malaysia dengan memberi penekanan ekspot terhadap produk keluaran Malaysia. Seramai lima (5) usahawan yang mempunyai produk yang boleh dikembangkan ke pasaran luar telah dipilih mewakili Negeri Selangor. Pada pameran ini, sekurang-kurang 2 hingga 6 syarikat China telah menunjukkan minat terhadap produk usahawan Negeri Selangor. Syarikat- syarikat tersebut adalah seperti berikut:
Bil Usahawan Syarikat China Anggaran nilai kontrak
1. AOM Foods Industri i) Shanghai Tuopu ii) Guangxi Mingtianyuan
iii) Guangzhou Shikang
iv) Di Rui Fan Import
v) Suifenhe Weichang Economic and Trade Co.Ltd.
RM500,000.00 2. Palm Fiber Sdn Bhd i) China Finance Industry Group ii) Guangxi Association of Import and Export
iii) Guangzhou Shikang
iv) Di Rui Fan Import
v) Suifenhe Weichang Economic and Trade Co.Ltd.
RM500,000.00 3. Kolam Emas Sdn Bhd i) Guangzhaou Everbright ii) Guangzhaou Shour
Tiada maklumat 4. Yusa Food And Industries i) Zao Bin Xin ii) Guangzhaou Shour
iii) Shanghai Miss Durian Food Co. Ltd.
RM10,000,000.00 5. EMZ Enterprise
i) Guangxi Association of Import and Export ii) Inner Mongolia Research Institute for Scientific Development of
Convention and Exhibiton Economy
Tiada maklumat -
Senaraikan secara terperinci usahawan yang telah berjaya ke peringkat antarabangsa dengan bantuan Kerajaan Negeri?