Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
40) USAHAWAN AGRO GENERASI MUDA
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa ramaikah usahawan agro/tani yang telah dilahirkan oleh kerajaan sejak 2010?
Program Agro Generasi Muda atau AGROGEMS hanya mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan setakat ini melalui program tersebut ianya telah berjaya memberikan maklumat awal atau membenihkan kesedaran kepada seramai 685 golongan Generasi Muda untuk menceburi sektor pertanian. Dari jumlah tersebut seramai 65 peserta (9.5%) yang telah dikenalpasti layak dan berpotensi untuk dipertingkatkan hasil mereka telahpun diberikan bantuan berbentuk peralatan yang berkaitan dengan bidang yang mereka ceburi.
Selain dari itu juga, seramai 34 peserta telahpun memulakan projek mereka iaitu penternakan lebah kelulut dan juga projek penanaman cili fertigasi.
-
Berapakah pendapatan purata bulanan usahawan agro/tani yang dikategorikan berjaya di Selangor?
Purata pendapatan bersih bagi peserta AGROGEMS yang di dalam kategori berjaya adalah sebanyak RM3,000.00 sebulan.
-
Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk membantu usahawan agro/tani sejak 2010?
Sejak tahun 2015, sejumlah RM1,308,123.00 telahpun dibelanjakan untuk tujuan pemberian bantuan berbentuk peralatan seperti sistem fertigasi, rumah kelulut, sistem penternakan ikan dan kandang ternakan kepada seramai 94 peserta.