Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
171) USAHA-USAHA MENGENAI ISU KESAMARATAAN GENDER
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha Kerajaan Selangor mengenai isu kesamarataan Gender?
a) Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menggalakkan kerangka pembangunan yang sensitif gender seperti yang termaktub dalam Matlamat 1 Dasar Wanita Selangor. Antara usaha-usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mengenai isu kesaksamaan gender adalah seperti berikut :
i. Negeri Selangor menjadi negeri pertama yang melaksanakan Program Pengarusperdanaan Gender menerusi pelaksanaan tiga (3) tahun Projek Pengarusperdanaan Gender Selangor bermula pada tahun 2019 di bawah kendalian Wanita Berdaya Selangor (WBS). Pengarusperdanaan gender penting dalam memastikan penggubalan, perancangan dan pelaksanaan sesuatu keputusan, dasar, program atau sebarang tindakan dalam pentadbiran mengambil kira perspektif golongan wanita dan lelaki agar kesaksamaan gender dapat dicapai.
Program pengarusperdanaan gender yang kini berada di tahun dua (2) pelaksanaan telah melibatkan sebanyak tujuh (7) jabatan/agensi merangkumi 4 agensi rintis pada tahun pertama iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor; Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS); Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan Bahagian Pembangunan Usahawan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Manakala tiga (3) agensi yang terlibat pada tahun kedua adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK); Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.
ii. Pelantikan Pegawai Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Point – GFP) dan Kumpulan Titik Tumpuan Gender (Gender Focal Team – GFT) dalam program Pengarusperdanaan Gender ini yang mana dianggotai sekurang-kurangnya tiga (3) orang termasuk pegawai daripada standco dan wakil jabatan atau agensi yang terlibat. GFP dan GFT ini akan melalui proses berikut :
a) Menjalani latihan sebanyak lima (5) peringkat bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai pengarusperdanaan gender.
b) Melaksanakan Audit Gender di jabatan masing-masing dengan penglibatan pihak pengurusan dan kakitangan jabatan bagi mengenalpasti jurang gender (jika ada) serta ketersediaan jabatan tentang pengarusperdanaan gender.
c) Menganalisa hasil dapatan Audit Gender bersama WBS untuk dibentangkan kepada Pengarah atau Ketua Jabatan masing-masing.
d) Merangka Pelan Tindakan Gender berdasarkan analisa dapatan Audit Gender yang telah dilaksanakan di jabatan masing-masing.
e) Membentang Pelan Tindakan Gender kepada Pengarah atau Ketua Jabatan bagi mendapatkan kelulusan untuk dilaksanakan di jabatan masing-masing.
iii. Bengkel latihan gender telah pun dilaksanakan kepada tiga (3) agensi perintis tahun pertama program ini iaitu di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Bengkel latihan gender ini penting untuk dilaksanakan agar pengarusperdanaan gender yang efisien dan mampan dapat dilaksanakan di peringkat agensi. Latihan kesedaran dan kefahaman mengenai pengarusperdanaan ini juga diharapkan dapat diterapkan sebagai salah satu kursus tahunan wajib dihadiri oleh penjawat awam Negeri Selangor.
iv. Selain itu, pembangunan kapasiti mengenai gender dan perspektif gender turut diterapkan di dalam modul latihan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor. Menerusi modul ini, para peserta akademi dan wanita di peringkat akar umbi akan mendapat kefahaman yang jelas berkenaan gender, memahami isu-isu gender yang berlaku di peringkat masyarakat dan mempraktiskan perspektif gender di peringkat keluarga, komuniti, organisasi dan sebagainya.
v. Usaha untuk menginstitusikan pengarusperdanaan gender ke dalam pentadbiran Selangor akan diteruskan melalui pemerkasaan Majlis Pengarusperdanaan Gender Antara Exco yang dipengerusikan secara tetap oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bersama barisan Exco Kerajaan Negeri yang berperanan dalam memastikan semua peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri memberikan komitmen dalam melaksanakan pengarusperdanaan gender dan diadaptasikan ke dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian projek, program serta belanjawan yang berkaitan.