Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
109) USAHA PIHAK KERAJAAN MEMBANTU PENGUSAHA TABIKA ATAU TADIKA SWASTA YANG MENGALAMI MASALAH KEWANGAN DISEBABKAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah ada usaha dari pihak kerajaan untuk membantu pengusaha-pengusaha Tabika atau Tadika swasta yang mengalami masalah kewangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan kepada hampir semua rakyat di Malaysia. Ramai kehilangan pekerjaan disebabkan syarikat tidak mampu bertahan apabila operasi syarikat tidak dapat berjalan seperti biasa. Tidak terkecuali dalam menerima kesan pelaksanaan PKP ini adalah Tabika dan Tadika swasta yang tidak dapat beroperasi dan seterusnya menyebabkan mereka kehilangan pendapatan sebagai pengusaha.
Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu pengusaha-pengusaha Tabika dan Tadika swasta yang terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memperkenalkan Program Bantuan Khas Pengusaha dan Guru Pendidikan Awal Negeri Selangor di bawah inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 pada tahun 2021.
Sebanyak RM450.00 diberikan kepada pengusaha tadika yang terjejas dan RM150.00 untuk guru-guru yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Bantuan in diberikan secara one off dengan peruntukan sebanyak RM1,506,750.00. Seramai 6,592 orang guru dan 1,151 orang pengusaha tadika telah menerima manfaat melalui inisiatif ini.