Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
133) USAHA PENCEGAHAN DENGGI
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk mencegah denggi selain daripada pemeriksaan rumah ke rumah oleh penduduk?
SEKTORAL
Tuan Speaker,
Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan No.22 daripada Yang Berhormat N32 Seri Setia, soalan No. 142 daripada Yang Berhormat N39 Kota Damansara dan soalan No. 273 daripada Yang Berhormat N31 Subang Jaya yang bertanyakan tentang langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi serta pelan tindakan negeri bagi menangani isu ini.
Negeri Selangor sering merekodkan kes demam denggi tertinggi di Malaysia dan situasi ini sangat membimbangkan. Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini adalah seperti tahap kebersihan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah kosong dan tanah-tanah kosong di samping sikap masyarakat itu sendiri yang kurang mengambil berat akan bahaya nya akibat demam denggi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat semua, bagi minggu epidemiologi (ME) 9 iaitu bagi tempoh 26 Februari 2023 hingga 4 Mac 2023, sejumlah 1,002 kes demam denggi telah dilaporkan di Negeri Selangor, iaitu penurunan sebanyak 11.0% (124 kes) berbanding 1,126 kes pada minggu sebelumnya. Walau bagaimanapun, sejumlah 10,128 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 9 yang berakhir pada 4 Mac 2023 iaitu peningkatan sebanyak 140.5% (5,917 kes) berbanding minggu yang sama tahun 2022 (4,211 kes), dengan 2 kes kematian dilaporkan dalam tempoh ini berbanding tiada kes kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), Communication for Behavioural Impact (COMBI), Komuniti Sihat Pembina Negara dan Team Selangor melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengawalan demam denggi. Bermula pada tahun 2023, Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) melibatkan agensi di atas telah dilaksanakan bermula pada 20 Februari 2023 sehingga 23 Mac 2023 di empat daerah yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.
Melalui OBDS, semua agensi akan berganding bahu melaksanakan aktiviti pencegahan seperti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP), program gotong-royong dan juga aktiviti advokasi bersama komuniti setempat melalui pemberian risalah dan repellent. Selain daripada program OBDS, Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan juga turut melaksanakan program pencegahan dan pengawalan denggi yang lain seperti berikut:
- Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan turut dihadiri oleh semua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis dan sebagainya;
- Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk / ahli majlis / DUN agar dapat diambil tindakan bersama;
- Menggiatkan penggunaan repellant dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti;
- Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit demam denggi dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan lokaliti wabak denggi. Kesedaran ini dihebahkan melalui promosi kesihatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan membuka kiosk kesihatan di tempat-tempat berisiko, edaran risalah kesihatan, edaran abate, hebahan suara, penggantungan kain rentang di kawasan lokaliti wabak dan juga melalui media sosial;
- Memperkasakan peranan penduduk / agensi terlibat melalui penubuhan pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan;
- Penggunaan ubat racun Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes. Penggunaan ubat racun ini juga akan dipantau secara berkala oleh PKD berkaitan;
- Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes Di Tempat Kerja dan Kuarters;
- Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah; dan
Aktiviti utama yang dilaksana adalah:Penurunan kes demam denggi melalui pengurangan kepadatan nyamuk Aedes di Selangor dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Melalui Akta ini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 8. Melaluinya, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis akan di ambil. Jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan.
JKNS
Aktiviti utama yang dilaksana adalah:
- Penghapusan Tempat Pembiakan Nyamuk (PTP);
- Semburan Ruang Termal;
- Semburan ULV;
- Aktiviti Pendidikan Kesihatan Denggi; dan
- Aktiviti Penguatkuasaan/ Perundangan
Antara usaha untuk masa jangka panjang yang sedang dan akan dilaksana termasuklah:
i. Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan yang diambil oleh pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dihadiri oleh kesemua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis dan sebagainya;
ii. Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk/ ahli majlis/ DUN agar dapat diambil tindakan bersama.
iii. Menggiatkan penggunaan repellan dan semburan aerosaol dalam kalangan komuniti.
iv. Memperkasakan peranan penduduk/ agensi terlibat melalui penubuhan pasukan COMBI bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan.
v. Melaksana program gotong-royong berfokus bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk bersama masyarakat di lokaliti berkenaan.
vi. Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes tempat Kerja dan Kuarters.
vii.Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah.
viii. Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 boleh diambil ke atas penduduk / pemunya premis yang dijumpai berpotensi pembiakan aedes dengan pengeluaran Notis di bawah Seksyen 8, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis. Jika terdapat kegagalan mematuhi notis seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan diambil.Pelaksanaan Operasi Bebas Denggi Selangor (OBDS):
OBDS bermula dari 15 Februari sehingga 22 Mac 2023 di seluruh Negeri Selangor. Operasi ini tertumpu di empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Hulu Selangor. Fokus utama OBDS adalah:
i. Penurunan kes demam denggi melalui pengurangan kepadatan nyamuk Aedes di Selangor dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
ii. Meningkatkan aktiviti kawalan berfokus kepada lokaliti bermasalah denggi dengan kekuatan pasukan tambahan daripada dalam / luar PBT dalam Negeri Selangor serta agensi lain seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Penerangan dan agensi sukarelawan berkaitan denggi seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) dan Communication for Behavioural Impact (COMBI).
iii. Meningkatkan kesedaran dan advokasi komuniti terhadap pencegahan penyakit demam denggi.Antara langkah yang akan dilaksanakan adalah:
i. Pertandingan Bebas Denggi di peringkat komuniti menyasarkan lokaliti hotspot.
ii. Penyaluran dana kepada agensi sukarelawan berkaitan seperti SUKA, COMBI atau persatuan penduduk untuk melaksanakan aktiviti Penghapusan Tempat Pembiakan (PTP).
iii. Notis pemakluman melalui banner akan diletakkan di setiap lokaliti hotspot supaya penduduk mengambil langkah pencegahan segera sebelum tarikh operasi dilaksanakan.
-
Apakah tindakan terhadap projek terbengkalai yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes?
Antara tindakan – tindakan yang boleh diambil oleh PBT :
- Menyenaraikan projek perumahan terbengkalai dan mendapatkan maklumat seperti pemilik projek, maklumat orang yang boleh dihubungi untuk memberi notis peringatan keperluan menjalankan Tindakan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes.
- Membuat pemantauan tapak dan merekodkan status kemajuan semasa berkaitan tindakan pencegahan pembiakan nyamuk Aedes dan pelaksanaan pemulihan projek.
- Membuat kawalan dan pencegahan melalui kaedah pemusnahan tempat pembiakan, semburan dan pemusnahan jentik-jentik (larvaciding/oiling).
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bekerjasama dengan agensi Pejabat Kesihatan Daerah menjalankan penguatkuasaan mencegah pembiakan jentik-jentik di dalam projek terbengkalai. Selain itu juga pemilik diarahkan bagi menjalankan kerja-kerja pencegahan di tapak bina tersebut, disamping itu Program Pendidikan Kesihatan kepada pekerja/majikan yang terlibat.