Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

189) USAHA MENGATASI KESESAKAN JALAN RAYA DI KAWASAN BANDAR & PINGGIR BANDAR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Razaly Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan setuju bahawa punca utama kesesakan jalan raya di kawasan- kawasan berkenaan ialah kerana kekurangan sistem pengangkutan awam yang efisyen (sepertiLRT) dan kerana terlampau banyak lampu isyarat serta menggunakan lampu isyarat bodoh.

    Kesesakan jalan raya sering berlaku di kawasan padat terutamanya di kawasan bandar. Namun, pada waktu-waktu tertentu seperti musim perayaan, kawasan luar bandar turut mengalami kesesakan apabila penduduk bandar mulai pulang ke kampung halaman.

    Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar. Antaranya adalah keadaan jalan raya yang tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak pada satu-satu masa. Selain itu, aktiviti penyelenggaraan jalan turut menyumbang kepada kesesakan jalan raya apabila kerja-kerja membaik pulih jalan raya yang rosak dilaksanakan. Ia menyebabkan laluan kenderaan menjadi lebih kecil dan sempit sehingga kenderaan yang melalui kawasan tersebut terpaksa bergerak secara perlahan-lahan.

    Kesesakan jalan raya juga didorong oleh pertumbuhan industri automobil yang pesat dan kemampuan rakyat membeli kenderaan. Jumlah kenderaan semakin meningkat sekaligus penggunaan kenderaan persendirian yang tinggi sebagai pengangkutan utama rakyat. Di samping itu, perkhidmatan bas dan teksi yang kurang efisyen menyebabkan kurangnya keyakinan masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam sedia ada.

    Sehubungan dengan itu, lampu isyarat yang banyak bukanlah penyebab utama kesesakan jalan raya kerana tujuan pemasangan lampu isyarat adalah untuk mendidik dan mendisiplin pengguna jalan raya agar lebih berhemah. Sikap dan toleransi pengguna jalan raya terutamanya pemilik kenderaan persendirian yang lebih berhemah semasa memandu mampu mengurangkan kadar kemalangan mahupun kesesakan di sesuatu tempat.

  2. Nyatakan perancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan?

    Kerajaan Negeri sedar tentang keperluan memperbaiki sistem pengurusan trafik di Negeri Selangor melalui langkah jangka pendek dan panjang. Oleh itu, di dalam perancangan pembangunan yang dilaksanakan sama ada di bandar atau luar bandar, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memainkan peranan penting dengan mewajibkan penyediaan pelan pengurusan lalu lintas yang teratur bagi mengenalpasti beberapa penyelesaian alternatif atau penambahbaikan untuk mengatasi masalah pengurusan lalu lintas. Kerajaan Negeri juga yakin bahawa peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan oleh PBT adalah selaras dengan perancangan kerajaan dalam merangka pembangunan yang mampan dan

    Kerajaan juga telah melancarkan Bas Smart Selangor bermula pada 1 Julai 2015 yang kini telah meliputi 11 daripada 12 PBT di Selangor kecuali Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang telah memiliki bas komuniti sendiri. Inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya, objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunakan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat seterusnya mengurangkan jumlah kenderaan individu di jalanraya, disamping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.

    Kerajaan Negeri juga telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor dengan objektif untuk menyediakan satu dokumentasi perancangan jangka panjang yang akan menjadi rujukan semua agensi dan stakeholder Kerajaan Negeri Selangor terutama yang terlibat dengan perancangan jaringan perhubungan dan pengangkutan seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Pelan ini adalah selari dengan dasar Kerajaan Negeri ke arah nisbah pengangkutan awam kepada kenderaan persendirian sebanyak 60:40 meliputi cadangan baru bagi jajaran sistem pengangkutan awam yang menepati kehendak dan keperluan rakyat Negeri Selangor secara khusus dan Negara secara amnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.