Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

3) USAHA MEMBASMI KEMISKINAN

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah kejayaan dicapai dalam usaha Kerajaan Negeri mencapai sifar kemiskinan di kalangan rakyat?

    Usaha mencapai matlamat kemiskinan sifar dalam semua dimensi sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Menyedari hakikat ini, program dan inisiatif sentiasa dipelbagaikan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran

    Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan. Penurunan insiden kemiskinan di Negeri Selangor adalah sebanyak 0.2%, iaitu daripada 0.2% pada tahun 2014 kepada 0.0% pada tahun 2016.

    Pengurangan insiden kemiskinan di Negeri Selangor yang dicatatkan hingga ke paras sifar pada tahun 2016 ini telah membuktikan bahawa semua agenda dan rancangan Kerajaan Negeri terutamanya pelaksanaan Program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah berjaya memperlihatkan kejayaan dan keberkesanan yang amat positif dalam memberi kesan langsung untuk menurunkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor serta seterusnya memberi impak berterusan terhadap kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

    *Maklumat tambahan:

    Jadual Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri bagi tahun 2014 dan 2016 daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seperti di LAMPIRAN 1.

    LAMPIRAN 1

     

    INSIDEN KEMISKINAN MENGIKUT NEGERI DAN STRATA BAGI TAHUN 2014 DAN 2016

     

     

    (Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, 2017)

  2. Sila perincikan pecahan status berpendapatan miskin mengikut pecahan daerah, sekiranya ada.

    Mengikut Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Mengikut Negeri dan Daerah Pentadbiran Tahun 2016 bagi Negeri Selangor yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, insiden kemiskinan mengikut daerah di Negeri Selangor bagi tahun 2016 adalah seperti berikut :-

     

    BIL.

     

    DAERAH

    INSIDEN KEMISKINAN TAHUN 2016
    1. Gombak 0.0%
    2. Klang 0.0%
    3. Kuala Langat 0.0%
    4. Kuala Selangor 0.0%
    5. Petaling 0.0%
    6. Sabak Bernam 0.0%
    7. Sepang 0.0%
    8. Hulu Langat 0.1%
    9. Hulu Selangor 0.2%

     

    *Nota : 0.0% menunjukkan nilai yang kurang daripada 0.05%.

    Ini menunjukkan bahawa Negeri Selangor mencatatkan tiada insiden kemiskinan di semua daerah kecuali daerah Hulu Langat dan Hulu Selangor. Namun begitu, had pendapatan kasar isi rumah adalah berbeza mengikut kumpulan isi rumah* dan negeri. Had pendapatan bagi kumpulan isi rumah terendah 40% (B40) di Negeri Selangor adalah <RM6,180.

    *Nota : Kumpulan isi rumah adalah terdiri daripada terendah 40% (B40), pertengahan 40% (M40) dan tertinggi 20% (T20).

     

    *Maklumat tambahan:

    Insiden Kemiskinan Mengikut Strata dan Daerah Pentadbiran, Selangor bagi Tahun 2014 dan 2016 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seperti di LAMPIRAN 2.

  3. Apakah langkah yang diambil untuk menaik taraf kehidupan rakyat yang dianggap masih berada di tahap kemiskinan?

    Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baru yang memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Dimensi yang diberikan fokus utama oleh Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kadar kemiskinan adalah merangkumi kesihatan, pendidikan dan taraf hidup Sehingga September 2017, sejumlah empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Rumah Selangorku, Skim DanaSel, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Skim Peduli Sihat, Program Dialisis Rakyat, Program Peduli Siswa, Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor, Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS serta pelbagai lagi. Program-program seumpama ini merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari aspek kesihatan, pendidikan dan taraf hidup rakyat. Hasilnya, rakyat dapat menikmati kesejahteraan hidup yang berterusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.