Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

70) USAHA KERAJAAN UNTUK MENAMBAH KAKITANGAN BUKAN MELAYU

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pada setakat ini lebih daripada 90% kakitangan di semua agensi kerajaan merupakan Melayu, apakah usaha kerajaan untuk mengimbangkan keadaan ini dengan mengambil lebih ramai bukan Melayu dalam semua agensi kerajaan.

    Dasar pengambilan kakitangan Tetap Negeri Selangor yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPANS) adalah berdasarkan merit sepenuhnya. Tiada kuota tertentu mengikut kaum yang dilaksanakan dalam urusan pengambilan kakitangan ini.

    Pada masa ini, hebahan Iklan Kekosongan Jawatan dilaksanakan melalui akhbar perdana berbahasa Malaysia, laman web rasmi Kerajaan Negeri Selangor dan laman web rasmi SPANS.

    Berikutan daripada sesi taklimat yang diberikan kepada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 4 Ogos 2010 lalu, SPANS turut akan mengiklankan kekosongan jawatan melalui surat khabar Cina dan Tamil di masa akan datang. Selain itu, Iklan Kekosongan jawatan ini turut dipaparkan melalui laman web Selangor Kini sebagai langkah mempromosikan pengisian jawatan di kalangan bukan bumiputera di Jabatan / Agensi Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.