Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

178) USAHA KERAJAAN NEGERI TERHADAP MENJAGA ALAM SEKITAR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Setiap tahun negeri Selangor terpaksa lalui masalah jerebu disebabkan pembakaran terbuka oleh negara jiran dan tempatan. Adakah usaha pihak Jabatan Alam Sekitar untuk berbincang bersama negara jiran bagaimana dapat diatasi masalah tersebut?

    Bagi menangani masalah jerebu merentas sempadan, Malaysia telah memainkan peranan yang aktif di peringkat serantau melalui “Asean Ministerial Steering Committe on Transboundary Haze Pollution“. Melalui Jawatankuasa Pemandu ini Kerajaaan Indonesia telah menggubal satu pelan komprehensif bagi menangani masalah jerebu yang berpunca dari kebakaran tanah dan hutan iaitu Pelan Tindakan Indonesia Menangani Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (Indonesia’s Plan of Action [POA] in Dealing with Transboundary Haze Pollution). POA Indonesia memberi fokus kepada program-program mencegah kebakaran, pemadaman kebakaran, pemantauan dan pengurusan tanah gambut secara lestari.

     

    Di samping itu satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program kerjasama Malaysia – Indonesia ke arah mencegah masalah jerebu merentas sempadan telah ditandatangani pada 3 Jun 2008 di Jakarta, Indonesia.   Program-program kerjasama ini memberi fokus kepada peningkatan keupayaan (capacity building) dalam amalan pembersihan tanah tanpa pembakaran (zero burning), pemulihan tanah-tanah gambut yang telah terbakar dan penubuhan sistem pengesanan dan amaran awal kejadian jerebu, di Wilayah Riau, Sumatera, Indonesia.

  2. Apakah usaha dalam negeri sendiri bagi meningkatkan kesedaran tersebut?

    Usaha dalam negeri bagi meningkatkan kesedaran dalam mengatasi masalah jerebu adalah melalui pendekatan seperti berikut:

    1. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang mengenai larangan melakukan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar dan undang-undang lain yang berkaitan di bawah agensiagensi kerajaan yang lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Bomba;
    2. Menjalankan program pemantauan dan rondaan darat oleh Jabatan Alam Sekitar ke atas kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku pembakaran seperti tapak-tapak projek pembinaan, kawasan pertanian, tapak pelupusan sampah dan kawasan gambut. Program pemantauan ini turut dilaksanakan melalui penerbangan udara dengan kerjasama Unit Udara Polis dan penerbangan pihak swasta untuk membuat pengesanan awal bagi mengelakkan kebakaran dari merebak;
    3. Melaksanakan langkah pencegahan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut dengan melaksanakan “water management system” melalui pembinaan “check dam” dan pembinaan pintu air di kawasan tersebut supaya kebakaran dapat dikawal dan dikurangkan; dan
    4. Mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran alam sekitar terutama kepada sektor industri, pemaju projek pembinaan, para tani dan orang awam bagi memastikan semua pihak terlibat memberi kerjasama dalam usaha-usaha penjagaan alam sekitar dengan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.