Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
161) USAHA KERAJAAN MENGATASI MASALAH KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan seperti ayam mentah, telur ayam, mainyak masak paket, bawang yang amat kritikal sekarang ini?
Bagi pengetahuan semua pihak, masalah kekurangan ayam daging dan telur ayam berpunca daripada cuaca buruk seperti hujan berpanjangan dan banjir yang menyebabkan bekalan anak ayam terjejas, produktiviti ladang menurun, penyakit berjangkit melanda dan kadar kematian meningkat. Kekurangan buruh asing akibat PKP Covid-19 dan kenaikan harga makanan ternakan juga telah menyebabkan sebahagian penternak mengurangkan bilangan ayam pedaging diternak dan mengurangkan pusingan pemeliharaan setahun.
Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan ayam pedaging, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi membenarkan pengimportan ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan dari Disember 2021 hingga Februari 2022.
Seterusnya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memberi subsidi pengeluaran ayam daging dan telur ayam dari Februari 2022 hingga Jun 2022. Kadar subsidi adalah 60 sen bagi setiap kg ayam daging dan 5 sen bagi setiap biji telur ayam yang dihasilkan untuk pasaran tempatan. Subsidi ini bertujuan menampung kerugian para penternak yang menghadapi masalah kenaikan kos pengeluaran terutamanya kos makanan ternakan. Kerajaan Negeri menjangkakan para penternak negeri Selangor akan menerima subsidi keseluruhan bernilai RM150 juta hingga RM220 juta (bergantung kepada pemohonan penternak yang layak) di mana akan menggalakkan para penternak meningkatkan pengeluaran lalu menyelesaikan masalah kekurangan ini.
Diperingkat Kerajaan Negeri pula, sedang melaksanakan Program Jualan Prihatin Rakyat yang melibatkan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), FAMA Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) untuk menjual produk segar ayam dan telur ayam pada harga yang lebih rendah dari pasaran iaitu di antara RM3.00 – RM4.00 dan ianya termasuk jualan segar daging dan ikan.
Bagi harga jualan minyak paket dan bawang pula ianya tertakluk kepada Kerajaan Pusat dari segi penetapan harga. Namun begitu, PKPS perkara tersebut juga sedang di dalam pertimbangan untuk dijadikan sebagai produk yang boleh diberikan subsidi kepada pembeli dengan jumlah tertentu sahaja.